Berita

Usia bukan penentu prestasi atlet

DR. HASNUL FAIZAL ketika temubual khas di Pejabat Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), di Putrajaya
- Diterbit 31 Januari 2020 7:19 AM MYT

PUTRAJAYA – Akhir-akhir ini sering kedengaran isu berkenaan umur atlet berusia 35 tahun dan ke atas yang dikatakan tidak lagi relevan dalam dunia sukan.

Menjawab persoalan tersebut, Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Dr. Hasnul Faizal Hushin Amri berkata, umur bukanlah penanda aras utama dalam menentukan prestasi seseorang atlet kerana ia adalah suatu yang subjektif.

“Kalau individu itu secara aktifnya memang terlibat dalam aktiviti sukan dan mempunyai program latihan konsisten untuk mengekalkan prestasi, sudah tentu dia mampu melakukan persembahan dengan baik.

“Kadang-kadang atlet yang jauh lebih muda tidak sehebat atlet yang berumur. Mungkin kerana mereka tidak cukup persediaan dari segi latihan, program dan sebagainya,” ujarnya kepada Wilayahku.

Tambah Hasnul Faizal, tidak ada isu tentang perkara ini kerana setiap atlet itu memiliki prestasi yang berlainan antara satu sama lain bergantung kepada cara masing-masing.

“Atlet yang bagus bukan sahaja konsisten dalam latihan di samping menjaga pemakanan bahkan mereka ini punya inisiatif dalam latihan tanpa mengharapkan jurulatih semata-mata,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas