Berita

Panorama memukau Pantai Tanjung Aru

KEINDAHAN Sunset di Pantai Tanjung Aru seperti sebuah lukisan.
- Diterbit 27 Disember 2019 9:03 AM MYT

TANJUNG Aru, namanya mungkin tidak popular seperti Pantai Layang-Layangan yang sentiasa dipenuhi pengunjung sama ada dari dalam atau luar negara.

Merupakan lokasi sebuah kampung yang sedang pesat membangun, Tanjung Aru berada di bahagian pantai timur Pulau Labuan iaitu kira-kira 10 kilometer dari Pusat Bandar Labuan.

Difahamkan, nama kampung yang berkeluasan 240.5 hektar itu diambil sempena pohon ru (Aru) yang tumbuh di sepanjang pesisir tanjung.

Terletak berhampiran laut, pastinya sumber rezeki utama penduduk setempat adalah hasil laut. Malah, pesisir pantainya dipenuhi sampan-sampan kecil yang digunakan nelayan untuk ke laut.

PEMANDANGAN yang cantik pada waktu pagi terutama ketika waktu matahari terbit menjadi tarikan kepada peminat fotografi.

Panorama indah itu semakin menyerlah dek kesan bayangan pancang yang dipacak bagi mengelakkan perahu hanyut. Kesan pencahayaannya juga menjadi sebagai satu ‘hiasan’ cantik terutama pada waktu pagi sekali gus memukau pengunjung.

Berlatar belakang Gunung Kinabalu dan gunung-ganang Banjaran Crocker Sabah, pengunjung pastinya tidak mahu melepaskan peluang merakam gambar kenangan ketika melewati lokasi itu.

Aktiviti nelayan

Menurut penduduk setempat, Muqtadir Halim, Pantai Tanjung Aru juga menjadi lokasi tumpuan kaki foto kerana menyajikan pemandangan yang cantik selain berpeluang mengikuti kehidupan penduduk setempat.

“Ramai yang datang merakam gambar pada waktu matahari terbit iaitu sekitar pukul 5 pagi. Ada yang menanti dari pukul 4.30 pagi kerana tidak mahu ketinggalan pemandangan indah.

PEMANDANGAN Gunung Kinabalu dapat dilihat dengan jelas ketika matahari terbit di Tanjung Aru.

“Kalau cuaca baik, Gunung Kinabalu dan Banjaran Crocker Sabah akan jelas kelihatan walaupun dari kejauhan,” katanya.

Baginya, Tanjung Aru dapat dijenamakan dan diangkat sebagai salah satu lokasi pelancongan utama di Labuan seiring Pantai Layang-Layangan kerana pengunjung dapat menyelami kehidupan masyarakat setempat yang kebanyakannya nelayan.

“Seawal pagi, nelayan akan turun ke laut menggunakan sampan dan pulang pada waktu tengah hari. Ada yang menjual hasil tangkapan dan ada pula yang menjadikannya sumber makanan harian,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas