Berita

Remaja 17 tahun masuk ICU dipercayai akibat vape

KEADAAN remaja berumur 17 tahun yang dimasukkan ke ICU ditularkan di media sosial baru-baru ini.
- Diterbit 8 November 2019 3:16 PM MYT

LABUAN – Seorang remaja lelaki berumur 17 tahun dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Labuan dipercayai akibat menghisap vape baru-baru ini didapati mengalami kecederaan dalaman paru-paru yang serius.

Pengarah Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan, Dr. Ismuni Bohari dalam satu kenyataan berkata, hasil siasatan awal mendapati kecederaan itu mempunyai beberapa kemungkinan termasuk jangkitan paru-paru, penyakit autoimmune, pendedahan bahan kimia atau mungkin juga akibat penggunaan vape.

“Bagaimanapun, punca dan sebab sebenar kecederaan paru-paru tersebut masih lagi dalam siasatan, termasuk perlu menunggu beberapa keputusan daripada makmal untuk pengesahan lanjut,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu merujuk kepada kes kemasukan remaja berumur 17 tahun ke Unit ICU Hospital Labuan yang telah tular di media sosial, di mana kes ini telah dikaitkan dengan penggunaan vape.

Dr. Ismuni memberitahu, remaja tersebut mendapatkan rawatan di hospital pada 4 Oktober lalu disebabkan masalah pernafasan yang teruk.

Beliau berkata, mangsa sememangnya mempunyai sejarah penyakit asma dan telah dimasukkan ke wad ICU Hospital Labuan untuk rawatan penyakit asma sehingga memerlukan bantuan pernafasan.

“Sewaktu di ICU, pesakit dikesan mengalami kecederaan dalaman yang serius di paru-paru, di samping beberapa gejala lain seperti rhabdomyolysis dan kegagalan fungsi buah pinggang.

Jelas Ismuni, hasil siasatan lanjut mendapati pesakit telah mula menggunakan vape selama dua minggu sebelum dia dimasukkan ke hospital, yang mana didapati ia merupakan salah satu usahanya untuk berhenti merokok.

“Pesakit telah diberi rawatan sewajarnya dan juga memerlukan hemodialisis. Buat masa ini, remaja tersebut telah beransur pulih namun masih dirawat di ICU dan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Menurut Dr. Ismuni, maklumat lanjut kes ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Sehubungan itu, masyarakat dinasihatkan untuk tidak membuat spekulasi mengenai kes ini dan juga menghormati privasi pesakit serta keluarga,” katanya. WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas