Berita

Ahli Parlimen Nibong Tebal rebah ketika berbahas di Dewan Rakyat

MANSOR (kanan) rebah ketika membahaskan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat .
- Diterbit 21 Oktober 2019 9:04 AM MYT

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat hari ini terkejut apabila Datuk Dr. Mansor Othman (PH-Nibong Tebal) tiba-tiba rebah ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan 2020).

Beliau sebelum itu dilihat terhenti seketika ketika berucap dalam nada suara yang tidak jelas sebelum rebah namun sempat disambut Wong Chen (PH-Subang Jaya).

Beberapa Ahli Parlimen lain termasuk Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang berada di bahagian belakang Mansor turut meluru bagi membantunya.

Ekoran itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming meminta mana-mana Ahli Parlimen yang merupakan doktor perubatan supaya memberikan bantuan.

Beliau turut meminta pasukan perubatan yang berada di luar Dewan Rakyat supaya masuk untuk membantu memberikan rawatan kecemasan.

Memandangkan keadaan yang menimpa Mansor itu, Kor Ming menangguhkan sidang selama lima minit mengikut Peraturan Mesyuarat 12(2).

Selepas bantuan awal, Mansor kemudian dilaporkan sedar semula dan dibawa keluar dewan dengan menggunakan kerusi roda. Dia juga kelihatan mampu tersenyum.

Dalam pada itu, memetik laporan Malaysiakini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang turut serta di klinik bangunan Parlimen ketika Mansor menerima rawatan menjelaskan keadaan wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu difahamkan sudah pulih.

“Doktor katakan dia sudah pulih mungkin cuma tekanan darah turun sikit masa tu dan sudah pulih. Alhamdullilah.

“Ikut prosedur dia akan terus ke hospital untuk rawatan sepenuhnya,” katanya kepada pemberita.

Mansor yang menerima rawatan di klinik tersebut kira-kira 30 minit kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur dengan menaiki ambulans bagi mendapat rawatan selanjutnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas