Oleh AZLAN ZAMBRY
KUALA LUMPUR – Pegawai Tugas Khas Menteri Wilayah Persekutuan, Zulhazmi Shariff, 44, akan memfailkan saman fitnah terhadap seorang pemimpin pertubuhan bukan kerajaan, Zahlan Ridzuan di Mahkamah Syesyen Kuala Lumpur, Isnin ini ekoran tuduhan menerima suapan bagi melindungi kelab malam di ibu kota.
Peguamnya, Putra Taulan dari Tetuan Putra Taulan & Faiq Azizan berkata, pihaknya sudah menyiapkan draf tuntutan saman tersebut.
“Kami memfailkan tuntutan ganti rugi sebanyak RM200,000 selain permohonan maaf daripada tertuduh,” katanya kepada Wilayahku di sini hari ini.
Zulhazmi bertindak membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi, Cheras ekoran tular satu rakaman video seorang lelaki yang bernama Zahlan Ridzuan menuduhnya mengambil wang perlindungan daripada peniaga kelab malam selain mengganggu tugas pegawai penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Dalam pada itu, Zulhazmi berkata, tuduhan tersebut tidak berasas dan berniat jahat apabila namanya disebut tanpa bukti.

Katanya, dalam laporan polis tersebut, lelaki berkenaan merupakan Timbalan Pengerusi sebuah NGO yang dikenali sebagai Zahlan telah menuduhnya mengambil wang keselamatan daripada peniaga selain menggangu tugas pegawai-pegawai DBKL.
Kata Zulhazmi lagi, dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu terbabit selain menafikan tuduhan berkenaan.
Sementara itu, melalui tangkapan layar akaun Facebook milik Zulhazmi mendedahkan, individu tersebut telah menghubunginya dan hanya mahukan kepastian.
“Saya tetap akan meneruskan saman ini dan meminta Zahlan menjawab di mahkamah,” katanya.