Berita

Ibu kota identiti negara merdeka

ORANG ramai mengibarkan Jalur Gemilang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
ORANG ramai mengibarkan Jalur Gemilang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
- Diterbit 23 Ogos 2019 6:12 AM MYT

Ibu kota yang bererti dan beretika adalah ibu kota sesebuah negara merdeka. Empayar adalah entiti yang tidak beretika kerana ia men­jajah negara orang. Tanah jajahan juga adalah entiti tidak beretika kerana ia wilayah yang dijajah dan tidak berkeupayaan untuk membebaskan diri sendiri.

Entiti yang beretika adalah sebuah negara merdeka. Maka begitu juga dengan ibu kotanya. Istilah paling tepat bagi ibu kota negara merdeka ialah ibu kota nasional, ibu kota kebangsaan atau national capital.

Ibu kota negara ialah Kuala Lumpur. Putrajaya lebih indah dan teratur tetapi ia bukan ibu kota negara. Ia hanyalah pusat pentadbiran Persekutuan atau federal administrative capital.

Apa yang meninggikan taraf Kuala Lumpur daripada Putrajaya ialah dua institusi penting negara berada di ibu kota, iaitu Istana Negara dan Bangunan Parlimen iaitu selain daripada Bank Negara, Masjid Negara, Tugu Negara dan Muzium Negara, empat institusi penting bagi identiti negara.

Sememangnya Putrajaya mempunyai Perdana Putra dan Istana Keadilan. Putrajaya juga mempunyai Dataran Pahlawan. Tetapi tentunya kedudukan Putrajaya tidak setaraf dengan Kuala Lumpur sebagai kota nasional.

Kuala Lumpur menjadi ibu kota Malaysia pada tahun 1963. Malaysia tidak pernah menjadi tanah jajahan. Negara ini dibentuk dengan gabungan empat negara merdeka, Malaya, Singapura, Sarawak dan Sabah.


Malaysia mewarisi Kuala Lumpur daripada Malaya atau Persekutuan Tanah Melayu. Kuala Lumpur menjadi ibu kota Tanah Melayu pada tahun 1955 apabila persekutuan itu dibentuk. Ketika itu ia adalah entiti dalam Empayar British.

Pada tahun 1957, Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dan Kuala Lumpur adalah ibu kota nasionalnya. Antara 1948 hingga 1955, Kuala Lumpur adalah juga ibu kota Malayan Union, bertaraf tanah jajahan British. Begitu juga pada masa penjajahan Jepun, ibu kota Malai turut ditetapkan di Kuala Lumpur. Tetapi ketika itu Malai hanya terdiri daripada Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang dan Pahang.

Sebelum pendudukan Jepun, Tanah Melayu dan Singapura dipanggil sebagai British Malaya, tanah jajahan yang berada dalam tiga bentuk. Ne­geri-negeri Selat, Negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS) dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (UFMS). Kuala Lumpur adalah ibu kota FMS tetapi ibu kota British Malaya adalah Singapura.

British memilih Kuala Lumpur sebagai ibu kota FMS kerana Selangor terletak di tengah. Perak di utara, Negeri Sembilan di selatan dan Pahang di timur. Kuala Lumpur pula menjadi pusat pentadbiran Selangor. Ibu kota Selangor yang ditetapkan oleh Sultan adalah Klang, British memilih Kuala Lumpur kerana kedudukannya di tengah-tengah Lembah Klang.

Kedudukan tengah adalah penting untuk menjadi ibu kota. Bagi British, Kuala Lumpur adalah ibu kota negeri. Bagi membezakannya dengan Klang, British mengemukakan konsep royal capital atau ibu kota diraja. Kedaulatan terletak di ibu kota diraja tetapi kuasa sebenar berada di ibu kota negeri. Konsep ini dipakai di semua negeri FMS. Ibu-ibu kota diraja negeri FMS ialah Klang, Kuala Kangsar, Pekan dan Seri Menanti. ibu-ibu kota negeri pula ialah Kuala Lumpur, Ipoh, Kuala Lipis dan Seremban.

Sebelum itu pula, semua urusan wilayah milik British ditadbir dari Calcutta, India. Ia menjadi ibu kota British India dan British Malaya. Tetapi sebelum kedatangan kuasa Eropah, ibu kota Kesultanan Melayu terletak di Melaka hinggalah kota itu jatuh ke tangan Portugis. Maka ibu kota Kesultanan Melayu berpindah ke Kota Tinggi.

Melaka menjadi ibu kota tanah jajahan Portugis di Asia Tenggara. Ia pula terletak di bawah pentadbiran Portugis di Goa, India yang menjadi ibu kota tanah jajahan Portugis di Asia.

Apabila Portugis kalah pada Belanda, Melaka menjadi ibu kota tanah jajahan Belanda di Hindia Timur. ibu kota Empayar Belanda ialah di Amsterdam. Namun apa­bila dapat menakluki Betawi atau Batavia, Belanda memindahkan ibu kota Hindia Timur ke situ.

Pindah

British yang pada mulanya mahu menjadikan Melaka sebagai ibu kota tanah jajahannya di Asia Tenggara turut mengubah fikiran dan memilih Singapura.

Apabila Hindia Timur merdeka dan menjadi Indonesia pada tahun 1945, Betawi bertukar nama dan menjadi Jakarta. Dan pada 17 Ogos lalu, Presiden Joko Widodo mengumumkan akan memindahkan ibu kota Indonesia ke pulau Kalimantan.

Ibu kota baharu Indonesia ini akan lebih tersusun, cantik dan maju. Maka boleh dibayangkan ia adalah seperti Putrajaya tetapi lebih besar dan lebih bertaraf. Ini kerana Putrajaya bukannya ibu kota.

Maka dengan ini Indonesia menjadi negara ASEAN yang memindahkan ibu kotanya. Myanmar memindahkan ibu kotanya dari Yangon ke Naypyidaw. Nama lama Yangon adalah Rangoon yang dipilih oleh British sebagai ibu kota tanah jajahannya, Burma. Tetapi ia turut ditadbir dari Calcutta, India.

Bakal ibu kota baharu Indonesia akan lebih hampir kepada Brasilia, ibu kota Brazil. Brasilia terletak di tengah-tengah hutan Amazon. Di dunia, tiga tompok hutan hujan tropika utama dunia terletak di tiga benua iaitu Amerika Selatan, Afrika dan Asia Tenggara. Di Amerika Selatan, hutan Amazon terletak di Brazil, di Afrika ialah di Congo dan di Asia Tenggara ialah di Kalimantan.

Sebelum Brasilia diwujudkan, ibu kota Brazil ialah di Rio de Janeiro yang berada di pesisiran Lautan Atlantik. Pelabuhan ini dibina oleh Portugis sebagai ibu kota tanah jajahannya di Amerika Selatan. Pembinaannya dilakukan pada waktu yang sama dengan pembinaan Betawi oleh Belanda di Hindia Timur.

Di peringkat dunia, pulau Kalimantan bernama Borneo. British menamakannya Borneo mengambil sempena Brunei. Apabila disebut Kalimantan, ada pihak merujuknya kepada wilayah Indonesia di pulau Borneo. Atau Indonesian Borneo.

Ada pula pihak yang menyebut Borneo hanya merujuk pada bekas tanah jajahan British di pulau Kalimantan iaitu Sarawak, Brunei dan Sabah. Lebih-lebih lagi sebelum merdeka lagi, Sabah bernama North Borneo atau Borneo Utara.

Pada masa konfrontasi dahulu, Indonesia menyebut Sarawak, Brunei dan Sabah sebagai Kalimantan Utara. Kini, di Indonesia, apa yang disebut sebagai Kalimantan Utara adalah sebuah provinsi di sebelah timur pulau itu, bersempadanan dengan Sabah dan Sarawak. Selain itu, ada provinsi-provinsi lain bernama Kalimantan Barat, Kalimantan Selatan, Kalimantan Timur dan Kalimantan Tengah.

Sarawak dan Sabah pernah dipanggil sebagai Malaysia Timur. Andai kata Brunei menyertai Malaysia dahulu, maka Brunei juga adalah sebahagian daripada Malaysia Timur. Tetapi kini terutama dari segi promosi pelancongan, seringkali disebut bahawa Sarawak, Borneo dan Sabah, Borneo dan tidak menyebut Sarawak, Malaysia dan Sabah, Malaysia. Mungkin mereka tidak mahu pelancong terkeliru dengan Semenanjung Malaysia. Atau Borneo lebih terkenal daripada Malaysia dalam industri ekopelancongan. Namun Borneo bukan sebuah negara, tetapi pulau besar yang mempunyai tiga negara iaitu, Malaysia, Brunei dan Indonesia.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas