Berita

Sepakat bangunkan Kampung Baru

PERSEKITARAN Kampung Baru pada masa ini - Gambar hiasan.
PERSEKITARAN Kampung Baru pada masa ini - Gambar hiasan.
- Diterbit 2 Ogos 2019 2:50 AM MYT

SEMUA pihak boleh bersetuju bahawa Kampung Baru yang terletak di tengah-tengah kawasan segitiga emas di Kuala Lumpur perlukan kepada pembangunan dan proses perubahan sejajar dengan kepesatan kemodenan ibu kota. Namun dalam masa sama kampung tradisi berusia lebih 100 tahun itu perlu dipertahankan identitinya sebagai kawasan masyarakat Melayu.

Kejayaan pembangunan Kampung Baru terletak sejauh mana masyarakat Melayu dapat terus kekal di situ dan memiliki aset serta hartanah yang kini bernilai berbilion ringgit itu.

Setakat ini sebahagian kawasan tersebut sudah dibangunkan hasil inisiatif anak jati di situ. Dan terbukti ia berjaya. Terkini kerajaan tampil dengan usaha terbaru untuk membangunkan keseluruhan kawasan melibatkan 121 hektar termasuk 89 hektar yang terletak di luar kawasan Malaysia Agricultural Settlement (MAS).

Kita hanya hanya dengan usaha daripada kerajaan sahaja yang dapat menjamin nasib masa depan pemilik dan waris Kampung Baru. Sebelum ini ramai yang sangsi sekiranya usaha tersebut diserahkan semata-mata kepada pihak pemaju. Pemaju sudah tentu mementingkan soal keuntungan tetapi dengan campur tangan kerajaan, segala perancangan sewajarnya memberikan pulangan terbaik untuk pemilik dan kelestarian masyarakat Melayu dalam proses urbanisasi.

Perkara paling penting ialah sebarang pembangunan semula di Kampung Baru perlulah dibuat secara menyeluruh dan bersepadu termasuk mengekalkan imej keMelayuan dan keIslaman.

Jika ini berjaya dilakukan sudah pasti ia menjadi kebanggaan – bukan sahaja kepada anak jati Kampung Baru malah orang Melayu keseluruhannya.

Hal ini memerlukan kesepakatan dan suara yang satu dalam kalangan pelbagai pihak. Tanpa dinafikan, masalah paling utama soal pemilikan paling rumit diselesaikan, namun dengan kesungguhan termasuk daripada Perbadanan Kampong Bharu (PKB) yang melakukan pelbagai inisiatif perlulah disokong.

Masing-masing sedar, sebahagian besar orang lama di Kampung sudah semakin lanjut usia. Mereka sudah pasti inginkan anak cucu mereka mempunyai masa depan yang cerah di kawasan tersebut. Namun jika semakin lama masalah pertindihan hak milik berterusan, sebarang pembangunan pada masa depan akan merumitkan keadaan.

Pembangunan semula Kampung sudah pasti melibatkan dana yang besar. Namun perkara itu boleh diatasi sekiranya perancangan itu mendapat dokongan semua pihak dan dikemukakan dengan penuh teliti.

Justeru pada September ini, kerajaan mahu mengumumkan tawaran berkaitan pembangunan semula Kampung Baru. Inilah ruang terbaik untuk kesemua pihak berkepentingan memberikan pandangan bernas. Kita mendoakan, pertemuan tersebut bakal memberikan natijah yang baik.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas