PUTRAJAYA – Penerima-penerima peruntukan program bantuan kewangan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan berazam akan memanfaatkan sumbangan yang diberikan dengan sebaik-baiknya demi pembangunan negara serta masyarakat.
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Rendah Pendidikan Khas Jalan Batu, Kuala Lumpur, Omar Izzuddin Abd. Aziz berkata, sumbangan yang diterima itu akan digunakan untuk proses pembelajaran dan pengajian al-Quran murid-murid sekolah tersebut yang mengalami masalah penglihatan.
“Murid-murid di sini merupakan orang kurang upaya (OKU) penglihatan. Mereka perlu menggunakan al-Quran braille untuk mempelajari kitab suci itu.
“Bantuan ini akan digunakan untuk membayar elaun kepada tenaga pengajar yang mengadakan kelas selama tiga kali seminggu dan kos pengajian,” katanya kepada Wilayahku selepas Program Penyerahan Bantuan Kewangan kepada NGO dan Persatuan di sini baru-baru ini.
Penyampaian bantuan yang keseluruhannya berjumlah RM400,000 itu disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Generasi Sejahtera, Datuk Mohd. Hamizan Amzah pula berkata, sumbangan itu akan digunakan untuk program kebajikan anjuran pertubuhan berkenaan.
Katanya, antara bantuan kebajikan yang dilakukan adalah menyediakan makanan kepada pekerja-pekerja kebersihan di sekitar ibu kota pada setiap Jumaat.