Berita

91,317 pegawai dan anggota PDRM selesai suntikan vaksin covid

PENGARAH Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Ramli Din meminta semua petugas PDRM mendaftar suntikan vaksin melalui aplikasi MySejahtera dan akan dipanggil untuk divaksinasi oleh pejabat Jabatan Kesihatan negeri masing-masing. Kredit foto oleh - Utusan Malaysia
- Diterbit 8 Jun 2021 9:38 AM MYT

SEBANYAK 91,317 atau 79.76 peratus anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin COVID-19 setakat Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Ramli Din berkata baki 23,179 terdiri daripada pegawai dan anggota kini dalam proses menyelesaikan vaksinasi mereka.

PDRM mempunyai seramai 114,496 pegawai dan anggota.

“Seramai 10,670 pegawai kanan telah menerima kedua-dua dos vaksin, 859 telah mendapat dos pertama dan sedang menunggu dos kedua, manakala 1,566 belum menerima vaksin.

“Sementara itu 80,647 anggota telah menerima dos pertama; 6,106 mendapat dos pertama dan masih menunggu dos kedua manakala 14,648 masih lagi belum menerima vaksin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Sebagai ketua Jabatan Pengurusan, saya berharap semua kakitangan saya menerima vaksin pada peringkat ini,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Ramli berkata pemberian vaksin untuk pasukan polis terletak di bawah kuasa Kementerian Kesihatan dan memahami kekangan yang dihadapi kementerian untuk mengagihkan vaksin ke seluruh negara dengan sewajarnya bagi petugas barisan hadapan daripada pelbagai organisasi.

Beliau berkata semua petugas PDRM diminta mendaftar melalui aplikasi MySejahtera dan mereka akan dipanggil untuk divaksinasi  oleh pejabat Jabatan Kesihatan negeri masing-masing.

“Adalah sukar untuk menugaskan pegawai dan anggota semata-mata berdasarkan status vaksinasi mereka,” katanya sambil menambah semua langkah telah diambil termasuk menyediakan peralatan perlindungan diri (PPE) seperti sarung tangan, pelitup muka dan pensanitasi tangan untuk melindungi mereka serta meminimumkan risiko dijangkiti virus itu ketika bertugas. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas