Berita

67,944 unit Residensi Wilayah Keluarga Malaysia dilulus kerajaan

ISMAIL (dua dari kiri) beramah mesra dengan pemilik rumah selepas majlis penyerahan kunci Residensi Wilayah Keluarga Malaysia Sky Awani 3 di sini hari ini.
- Diterbit 18 Jun 2022 10:43 AM MYT

KERAJAAN Persekutuan telah meluluskan pembinaan kira-kira 67,944 unit kediaman di bawah projek Residensi Wilayah Keluarga Malaysia yang dapat memenuhi keperluan kediaman di Wilayah Persekutuan

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu melibatkan 104 projek di seluruh Wilayah Persekutuan.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 97 buah projek adalah di Kuala Lumpur, tiga projek di Putrajaya dan empat projek di Labuan,” katanya dalam ucapan sidang perasmian penyerahan kunci Residensi Wilayah Keluarga Malaysia Sky Awani 3 di ibu negara, hari ini.

Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan timbalannya, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Datuk Seri Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Projek yang dibina oleh syarikat SkyWorld itu menawarkan sejumlah 1,905 unit kediaman berkeluasan 800 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air pada harga RM300,000 seunit.

Ismail Sabri berkata, kerajaan sentiasa memastikan kediaman yang ditawarkan kepada Keluarga Malaysia memenuhi keperluan semasa serta persekitaran yang selesa, kondusif, mesra keluarga serta praktikal, selain mampu dimiliki sejajar dengan wawasan Satu Keluarga Satu Rumah.

“Kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 serta Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN)
telah menggariskan langkah-langkah segera dan jangka panjang untuk merealisasikan hasrat tersebut.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga telah memperkenalkan program Home Ownership Programme (atau HOPE) bagi melihat ekosistem lebih menyeluruh dalam penyediaan perumahan, pembiayaan
perumahan serta program-program yang dapat membantu Keluarga Malaysia untuk memiliki rumah sendiri,” katanya.

Perdana Menteri memberi tahu, bagi membantu golongan warga kota berpendapatan rendah, KWP turut memperkenal program baharu yang dikenali sebagai Council Home.

“Ia adalah rumah untuk disewa sebagai transit bagi membantu golongan berpendapatan rendah B40 menyewa mengikut kemampuan sebelum mampu membeli rumah sendiri.

“Sehingga bulan April tahun ini, sebanyak 10 tapak telah dikenal pasti untuk pembinaan Council Home di Wilayah Persekutuan dan projek yang siap sepenuhnya adalah di Sungai Udang, Segambut berjumlah 1,251 unit.

Tambahnya, Council Home disasarkan pembinaan sebanyak 5,000 unit dalam tempoh lima tahun di antara tahun ini hingga 2027. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas