Berita

‘Zero Hunger’ bantu 4,000 asnaf

HASHIM dan isterinya menunjukan e-wallet boost mereka bernilai RM150 yang disalurkan oleh MAIWP menerusi inisiatif Kasih Asnaf ‘Zero Hunger’.
- Diterbit 18 Jun 2022 8:00 AM MYT

PROGRAM Kasih Asnaf ‘Zero Hunger’ Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang dilancarkan selama dua tahun bermula Jun tahun ini, jelas terbukti membantu golongan asnaf mendapatkan barangan keperluan asas.

Menurut penerima bantuan itu, Azaidi Alias, 38, inisiatif itu dapat meringankan beban golongan asnaf dalam mendapatkan barangan keperluan asas.

“Saya gembira dengan adanya bantuan ini dapat menampung perbelanjaan barangan makanan dan keperluan anak-anak memandangkan hasil pendapatan saya tidak mencukupi.

“Terima kasih kepada pihak MAIWP serta pembayar zakat yang tidak jemu menghulurkan bantuan seperti ini kepada golongan asnaf,” katanya kepada Wilayahku, baru-baru ini.

HASHIM dan isteri membeli barangan keperluan asas menggunakan bantuan Kasih Asnaf ‘Zero Hunger’ yang disalurkan oleh MAIWP di salah sebuah pasar raya di sini.

Bagi seorang penerima bantuan itu lagi, Hashim Ghani, 81, menzahirkan rasa syukur dengan bantuan yang disalurkan oleh pihak MAIWP kepadanya.

Katanya, bantuan itu amat bermakna kepada dia dan isteri kerana sebelum ini dia menerima bantuan bulanan sebanyak RM400 dan kini ditambah lagi RM150 untuk pembelian barangan keperluan.

Alhamdulillah dengan bantuan ini dapatlah membantu meringankan beban kami untuk belanja barangan dapur dan saya berpandangan sebagai warga emas menyambut baik kaedah pembayaran tanpa tunai kerana ia amat mudah khususnya kepada golongan seperti saya.

“Saya berasa amat bangga mempunyai kerajaan sekarang yang tidak mengetepikan golongan asnaf seperti kami,” katanya.

Terdahulu, MAIWP dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai empat ribu asnaf di pulau ini menerima inisiatif itu yang selama dua tahun bermula Jun tahun ini.

“Kesemua penerima bantuan bulanan MAIWP akan mendapat RM150 yang dikreditkan terus ke akaun e-wallet boost.

“Jumlah bantuan itu membabitkan peruntukan RM14.4 juta,” kata kenyataan itu. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas