Berita

60 pelajar PT3, UPSR terima bantuan wang tunai

- Diterbit 5 Mac 2021 2:34 PM MYT

SERAMAI 60 orang pelajar golongan komuniti nelayan dan B40 membabitkan empat buah Sekolah Menengah Kebangsaan dan lapan buah Sekolah Rendah Kebangsaan yang lulus dalam Peperiksaan Tingkatan 3 (PT3) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu menerima bantuan wang tunai daripada Repsol Oil & Gas Malaysia Limited, hari ini.

Antara sekolah yang terlibat iaitu SMK Lajau, SMK Pantai,SMK Rancha-Rancha,SMK Taman Perumahan Bedaun, SK Lubok Temiang, SK Patau-Patau, SK Rancha-Rancha, SK Bebuloh, SK Layang-Layangan, SK Sungai Lada, SK Tanjung Aru dan SK Pantai.

Pengarah  Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Yusup Mohamad dalam ucapannya berkata, pihak Repsol telah menghulurkan bantuan sebanyak RM400 kepada murid  Tingkatan 3 yang lulus PT3 dan RM300 kepada murid Tahun 6  yang lulus dalam UPSR pada tahun lalu.

“ Dengan bantuan ini, kita berharap para pelajar akan menggunakan wang bantuan itu dengan sebaik-baiknya dan menggunakan bantuan itu untuk membeli peralatan sekolah dan buku-buku pelajaran,” katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika berucap di Majlis Anugerah Motivasi Murid-Murid Golongan Komuniti Nelayan bagi tahun 2021, secara maya hari ini.

Dalam pada itu, Yusup turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Repsol  di atas usaha murni dalam membantu pelajar dari golongan komuniti nelayan berpendapatan rendah sebagai motivasi dalam pelajaran dan kehidupan mereka.

“ Saya berharap program ini dapat diperluaskan kepada pelajar-pelajar lain yang layak dan menjadikan program ini salah satu program utama secara ‘one off’ yang menjadi fokus utama  khidmat masyarakat daripada pihak Repsol,”katanya.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan Nizam Yasim, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Abdul Rahman Ahmad dan Penasihat Perhubungan Komuniti Repsol Oil & Gas Malaysia Limited Datuk Eddie Abdullah.

Sementara itu, Pengurus Kanan Repsol Ahmad Fakhrurazi berkata, anugerah tersebut merupakan kesinambungan usaha dalam memfokuskan kepada pendidikan, khasnya kepada anak-anak nelayan di Labuan yang masih di bangku sekolah.

“Setiap penerima darjah 6 akan menerima wang tunai RM300 manakala penerima Tingkatan 3 akan menerima wang tunai RM400 menjadikan jumlah anugerah kesemuanya adalah RM20,000.00.

“Hasrat kami adalah untuk membantu dan menyuntik semangat dikalangan anak-anak ini untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik dan aktiviti kokurikulum sekolah,” katanya.

Justeru itu, pihaknya berharapkan agar insentif  itu dapat membantu dan menjadi  suntikan semangat  kepada  pelajar yang berjaya untuk terus berusaha mengekalkan kecemerlangan di dalam pelajaran sehingga ke tahap menara gading. – KHAIRUL – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas