Selebriti

6 tahun peluk Islam, Stacy semakin bahagia

8
- Diterbit 4 Oktober 2021 2:38 AM MYT

PENYANYI popular Stacy mengaku dirinya semakin bahagia dan tenang sejak memeluk agama Islam enam tahun lalu.

Stacy atau nama sebenarnya Ummu Shaikhah Stacy Anam,31, mengaku suaminya Akim Ahmad banyak membimbingnya untuk menjadi insan yang lebih baik.

“Dulu sebelum memeluk agama Islam, saya seperti tiada agama sebenarnya. Hidup lebih berpaksikan cara membesar, apa yang dilihat dan didengari.

“Namun selepas enam tahun berkawan dengan Akim, banyak gerak hati untuk tahu apa itu Islam banyak didoronginya.

“Cara dia bercerita hal agama Islam nampak ringan dan tidak terlalu ‘direct’. Pendek kata apa yang terpacul dari mulutnya membawa ke satu siri penceritaan menarik.

“Siapa sangka keakraban kami, termasuk cara saya jadi dekat dengan Islam menerusinya terus menguatkan jodoh kami. Pandai adik (merujuk kepada Akim) ambil hati kakak (Stacy).

“Pada 26 September 2015, kami bertunang. Seterusnya 5 Februari 2016 kami bernikah di sebuah hotel di Sabah,” luah Stacy ketika mengimbas kembali detik penghijrahan dan pernikahannya ketika ditemuramah dalam program bual bicara dalam talian, Bersama Tya.

STACY yang juga ibu kepada dua cahaya mata bernama Bella De Luna Valentina, 8, dan Eshaal Afiq Hakim, 4, tidak pernah lupa saat-saat manis ketika memeluk Islam.

Ibu kepada dua cahaya mata bernama Bella De Luna Valentina, 8, dan Eshaal Afiq Hakim, 4, juga tidak pernah lupa saat-saat manis ketika memeluk Islam serta ditemani oleh kedua-dua ibu bapanya.

Walaupun ketika itu, Stacy agak kecewa apabila video pengislamannya disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab, namun Akim banyak memberi kekuatan kepadanya.

“Saya rasa momen pengislaman jadi sangat sempurna apabila ibu bapa ada di sisi merestui keputusan paling besar dilakukan anak mereka.

“Awalnya hanya ibu bapa saya saja tahu keputusan memeluk Islam ini. Tapi adik beradik lain dan saudara mara belum diberitahu lagi. Apabila viral gambar dan video itu, jadi kecoh.

“Tapi Akim suruh saya bersabar dan relaks dengan apa yang terjadi.

“Jujur ketika itu, hati saya jadi takut sangat dengan keputusan berkenaan. Hingga saya mempersoalkan dalam diri, apakah betul keputusan yang dibuat itu.

“Saya macam berperang dengan diri sendiri. Hingga terpacul rasa apakah sampai tahap perlu meninggalkan keluarga sendiri untuk agama Islam.

“Tapi akhirnya, takdir hidup saya memilih Islam sebagai agama yang satu. Saat selesai melafazkan kalimah itu, kelihatan ibu bapa saya tersenyum dan gembira. Ketika itu saya sedar, perasaan bukan bukan itu hanya mainan emosi,” jelasnya yang mahu terus belajar ke arah yang lebih baik.

Terdahulu, 24 Ogos lalu, genap enam tahun usia penyanyi lagu Pakai Buang memeluk Islam di Jabatan Agama Islam Johor Bahru, Johor.

Program dalam talian Bersama Tya kelolaan selebriti popular Tya Ariffin bersiaran secara langsung setiap Isnin, Selasa dan Rabu jam 10 malam di ‘Instagram Live’ sejak 14 Jun lalu.

Ia kemudiannya turut dikongsi di pelbagai platform termasuk di ‘feed’ Instagram dan dimuat naik di saluran YouTube Tya Arifin. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas