Berita

50 peserta terpilih sertai taklimat, YWP kemas kini permohonan UMK

ZAHRULAIL (tiga dari kanan) memberi taklimat kepada peserta di Wisma YWP
- Diterbit 25 November 2022 5:00 AM MYT

USAHA memperkasakan pembangunan Usahawan Muda Kota (UMK) terus dipergiatkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP)
melalui Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Terbaharu, YWP mengambil inisiatif mengemas kini semula permohonan ruang niaga terhadap peserta-peserta UMK yang telah berjaya dalam temu duga awal pada tahun 2020/2021.

Untuk itu, satu sesi taklimat penempatan kios dan pushcart diadakan kepada 50 peserta bertempat di Wisma YWP, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Pengurus kanan Pendidikan Ekonomi, Sosial, Agama dan Teknologi (P.E.S.A.T), Zahrulail Abdul Rahman menjelaskan taklimat tersebut diadakan bagi memproses kembali permohonan peserta yang telah berjaya setelah ia tertangguh selama dua tahun ekoran pandemik COVID-19.

“Kami beri penerangan lanjut dan kemukakan dua pilihan permohonan iaitu penempatan tapak niaga jenis kios dan tapak niaga jenis pushcart di 17 lokasi baharu di sekitar Kuala Lumpur.

“Bagi tapak ruang kios, luasnya adalah 7×7 yang mana ia ditempatkan di tiga kawasan di Kuala Lumpur antaranya di Jalan Alor, Taman Midah dan Taman Melati. Manakala pushcart pula ditempatkan di dua lokasi iaitu stesen transit aliran massa (MRT) dan transit aliran ringan (LRT) sekitar Kuala Lumpur,” katanya kepada Wilayahku.

Menurut Zahrulail, sekiranya ramai peserta yang memohon di satu kawasan yang disenaraikan, pihaknya akan membuat sesi temu duga kali kedua berdasarkan kriteria yang dikehendaki.

“Selepas taklimat, pihak kami akan menyaring kesemua permohonan untuk lihat berapa ramai yang memilih di satu-satu kawasan. Kalau tidak melebihi daripada bilangan unit yang ditetapkan, kami akan terus serahkan tetapi sekiranya lebih maka kami terpaksa melakukan temu duga dan saringan buat kali kedua,” ujarnya.

Tambahnya, para peserta juga telah diberi masa selama seminggu bermula tarikh selepas taklimat untuk membuat tinjauan di lokasi yang disenaraikan sebelum memberi keputusan dan menghantar borang jawapan kepada pihak YWP.

Kongsinya lagi, tapak ruang kios dan pushcart memudahkan usahawan untuk menjalankan perniagaan kerana ia boleh ditinggalkan di kawasan tersebut selain ia dilengkapi kemudahan seperti kipas, sinki dan ruang yang luas. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas