Berita

47 usahawan MAIWP berjaya menjadi pembayar zakat

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 4 April 2024 10:00 PM MYT

SERAMAI 47 usahawan yang mengikuti program pembangunan usahawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sejak 2022 sehingga kini berjaya menaik taraf diri masing-masing daripada penerima kepada pembayar zakat.

Pengerusi MAIWP Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata semakan dengan Pusat Pungutan Zakat-MAIWP menunjukkan jumlah zakat perniagaan dan pendapatan yang dikutip daripada mereka berjumlah RM50,652.38 sepanjang tempoh itu dengan ada di antara mereka yang membayar sehingga RM6,500 setahun.

“Program pembangunan usahawan yang dianjurkan MAIWP sebelum ini menunjukkan hasil dan memberi kesan yang baik kepada para usahawan MAIWP terutama dari perspektif kesedaran daripada seorang penerima bantuan zakat sehingga mampu menjadi seorang pembayar zakat.

“Saya juga mengharapkan lebih ramai usahawan MAIWP mempunyai kesedaran membayar zakat sebagai satu keutamaan dalam menjalankan perniagaan pada masa akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Jalinan Kasih Ramadhan Usahawan MAIWP di sini, hari ini.

Pada majlis yang julung kali ini diadakan itu, Syed Kamarulzaman turut menyampaikan sijil penghargaan dan cenderamata kepada 10 usahawan MAIWP yang membayar zakat pada 2023.

Beliau berkata pihaknya sentiasa peka terhadap keperluan membangunkan usahawan dan telah merancang beberapa program antaranya Program Usahawan Centre yang bertujuan menghimpunkan pengusaha trak makanan dan usahawan sedia ada di satu kawasan lebih tersusun dan sempurna.

“Bagi menzahirkan hasrat dan tujuan tersebut, saya mahu Bahagian Pembangunan Asnaf dan Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Hartanah MAIWP berbincang serta mengenal pasti tanah-tanah kosong milik MAIWP yang berpotensi serta boleh dibangunkan untuk aktiviti perniagaan usahawan.

“Saya mahu lihat projek atau program ini dilaksanakan pada pertengahan tahun kedua tahun ini,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas