Berita

465 kes cubaan bunuh sejak Jan hingga Jun

DR ADHAM BABA DR ADHAM BABA
- Diterbit 10 September 2020 9:16 AM MYT

SEJUMLAH 465 kes cubaan bunuh diri dirujuk kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi tempoh dari Januari hingga Jun tahun ini, berbanding 675 dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata KKM telah mewujudkan Talian Sokongan Psikososial sejak 25 Mac lepas dengan kerjasama Mercy Malaysia bagi membantu menangani isu berkenaan, dan agensi-agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut mewujudkan talian bantuan masing-masing.

Beliau berkata secara keseluruhannya sejak 25 Mac hingga hujung Ogos lepas 11,791 panggilan telah diterima oleh talian-talian ini, dan setiap pemanggil mempunyai purata tiga isu, dengan 50 peratus isu yang dirujuk memerlukan sokongan emosi serta kaunseling seperti stres, risau dan putus harapan.

Katanya ia berpunca daripada faktor-faktor seperti hilang pekerjaan, tiada sumber pendapatan, masalah hubungan interpersonal, isolasi dan pengurangan akses kepada perkhidmatan bantuan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan The Orchid Clubhouse MIASA sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia 2020 di sini hari ini,

Dr Adham berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan lebih 800,000 orang membunuh diri setiap tahun dengan purata satu kejadian bunuh diri setiap 40 saat.

Menurutnya secara global, kejadian bunuh diri adalah antara 20 penyebab utama kematian bagi semua peringkat umur, dan satu daripada tiga penyebab utama kematian dalam kalangan umur 15 hingga 44 tahun.

Sementara itu, Dr Adham berkata tema hari pencegahan bunuh diri pada tahun ini iaitu “Let’s TALK Minda Sihat: Kesihatan Mental Milik Semua, Bersama Cegah Bunuh Diri” bertepatan dengan situasi pandemik COVID-19 yang mempunyai impak signifikan terhadap kesihatan mental.

Beliau berkata selain daripada kempen dan promosi, KKM juga telah menyediakan perkhidmatan mental termasuk di 1,001 klinik kesihatan mental seluruh negara, empat institusi mental, 66 hospital kerajaan dan 28 Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari).

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas