SEBANYAK 3,988 lokasi 4G dan 184 lokasi 5G telah dipantau serta diaudit untuk memastikan pematuhan kepada Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) bagi kualiti perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar.
Kementerian Komunikasi berkata, kesemua lokasi yang telah diaudit itu dikenal pasti berdasarkan aduan dan maklumat yang diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menurutnya, sebanyak 551 ketidakpatuhan yang melibatkan 275 lokasi 4G dan 19 lokasi 5G seluruh Malaysia telah direkodkan dengan keputusan pelanggaran standard mandatori yang ditetapkan.
“MCMC telah mengeluarkan surat amaran dan notis pematuhan di bawah Seksyen 51, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 agar pemberi perkhidmatan mengenal pasti pelan penambahbaikan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan 4G.
“Lanjutan daripada tindakan yang diambil, pihak pemberi perkhidmatan yang terbabit telah melaksanakan pengoptimuman rangkaian (network optimisation). Ia berjaya menyelesaikan 88 daripada 462 ketidakpatuhan 4G,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Kementerian itu menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai dakwaan mengatakan talian internet dan telefon menjadi semakin teruk di sesetengah kawasan setelah peralihan 4G ke 5G.
Jelas Kementerian Komunikasi, baki bagi 374 ketidakpatuhan untuk 4G masih dalam proses penilaian untuk pengeluaran Arahan Suruhanjaya kerana melibatkan naik taraf menara sedia ada atau pembinaan menara baharu yang mengambil masa lebih lama.
Katanya, semasa permulaan pelaksanaan rangkaian 5G oleh Digital National Berhad (DNB), Pemberi Perkhidmatan Mudah Alih (MNO) telah mendapati terdapat peningkatan dalam jumlah panggilan terputus (dropped calls).
Tambah kementerian itu, analisis lanjut menunjukkan bahawa kebanyakan panggilan terputus disebabkan oleh kegagalan penyerahan (atau handover) panggilan antara rangkaian 5G milik DNB dan 4G milik MNO.
“Bagi menangani masalah ini, Kementerian Komunikasi melalui MCMC telah menubuhkan pasukan petugas bersama pihak MNO dan DNB.
“Beberapa inisiatif dilaksanakan antaranya mengoptimumkan rangkaian (network optimisation) 4G oleh MNO dan pengaktifan fungsi Call Re-establishment (CRE) di seluruh negara bagi mengelakkan panggilan terputus.
“Berdasarkan pemantauan MCMC, kadar panggilan terputus telah menurun dari Januari 2024 dan kembali stabil,” katanya.
Katanya, kualiti rangkaian di sesuatu kawasan juga boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti kesesakan rangkaian, gangguan frekuensi selain liputan yang lemah.
Untuk itu katanya, pengguna digalakkan untuk membuat aduan secara terus kepada pihak pemberi perkhidmatan sekiranya perkhidmatan yang disediakan adalah tidak memuaskan agar tindakan yang sewajarnya dapat diambil.
Sekiranya aduan tersebut tidak dapat diselesaikan, aduan kepada MCMC juga boleh dilakukan di laman portal aduan MCMC di https://aduan.mcmc.gov.my. – WILAYAHKU