Berita

400 warga asing buat saringan kesihatan di Pasar Borong Selayang

WARGA asing yang bekerja di Pasar Borong Selayang membuat saringan kesihatan pagi tadi.
- Diterbit 24 Mac 2020 10:26 AM MYT

SELAYANG – Dalam usaha menangani wabak Covid-19, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tampil membantu Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan operasi saringan khusus untuk pekerja asing di Pasar Borong Selayang pagi tadi.

Operasi yang bermula pukul 6 pagi dan berakhir lebih kurang dua jam itu melibatkan 400 orang warga asing yang bekerja di pasar berkenaan.

Menurut Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Khairul Azmir Ahmad, ketika operasi dijalankan bersama KKM dan dibantu pihak polis, pekerja-pekerja sedang aktif menutup operasi perniagaan yang beroperasi sejak pukul 10 malam.

“Ketika kami tiba, terdapat beberapa pekerja yang melarikan diri kerana berfikir kami mahu menangkap mereka sedangkan ini sekadar pemeriksaan saringan Covid-19 sahaja,” ujarnya.

Tambahnya lagi, hasil daripada pemeriksaan ke atas 400 warga asing, 10 orang daripadanya telah di ambil sampel untuk pemeriksaan lanjut kerana mempunyai sejarah hadir ke perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling sebelum ini selain mengalami demam serta batuk.

“Mereka telah pun menjalani kuarantin secara sukarela atau ‘self quarantine’ selama 14 hari, ” ujarnya.

Katanya lagi, majoriti pekerja di pasar berkenaan terdiri daripada warga Myanmar, Bangladesh dan Indonesia.

“DBKL sentiasa bersedia untuk membantu pihak KKM membuat saringan pemeriksaan kesihatan di pasar-pasar borong dari masa ke semasa,” ujar beliau.

Selain daripada operasi tersebut, DBKL turut menyita lima premis melibatkan penjaja tanpa lesen di sekitar kawasan pasar borong. – WILAYAHKU

KKM menyediakan kelengkapan untuk membuat saringan kesihatan kepada pekerja asing di Pasar Borong Selayang.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas