4 buku terjemahan (BM) yang perlu dibaca

4 buku terjemahan (BM) yang perlu dibaca

RALPH WALDO EMERSON, penulis Amerika Syarikat terkenal ada berpesan, “Saya tidak malu untuk membaca buku-buku yang terbaik walaupun ia versi terjemahan. Semua isi kandungan buku yang bagus boleh diterjemahkan, termasuklah wawasan dan pandangan penulis tersebut.”

Namun terdapat dua realiti pembaca buku yang alah dengan buku terjemahan di Malaysia. Pertama; pembaca terbabit lebih selesa membaca dalam bahasa asal buku tersebut, iaitu biasanya bahasa Inggeris. Kumpulan ini biasanya berkemahiran baik (berfikir juga) dalam bahasa Inggeris.

Kumpulan kedua pula bukanlah penutur asli bahasa Inggeris. Namun mereka tetap alergi dengan buku terjemahan dalam bahasa Melayu kerana tegar dengan dogma, “Buku versi terjemahan biasanya teruk kualiti selepas dialih bahasa.

Kita mempunyai pilihan tersendiri untuk memilih, membeli, membaca segala bahan yang cocok di hati. Apaapa pun, kerja-kerja terjemahan tetap penting dalam kehidupan kita. Karya Salina (A. Samad Said), Hikayat Hang Tuah, Hikayat Raja Pasai, Sulalatun Salatin dan banyak lagi karya persuratan kita tidak akan dikenali dunia jika tidak ada yang menterjemahkannya ke bahasa antarabangsa.

Bagaimana pula karya asing ke bahasa Melayu? Mengapa ia perlu diterjemahkan? Kita lihat betapa pentingnya empat buku asing ini diterjemahkan ke bahasa Melayu dan sebab ia perlu dibaca.

MATHNAWI
karya Jalaluddin Rumi

Karya Jalaluddin Muhammad Rumi ini siap diterjemahkan selama 10 bulan oleh Allahyarham Profesor Dr. Mohd Ajmal Abdul Razak al-Idrus dan diterbitkan oleh ITBM pada tahun 2011. Lama sebelum itu, Reynolds Alleyne Nicholson, mengambil masa selama 40 tahun untuk menterjemahkan karya tersohor penyair terunggul Islam itu daripada bahasa Parsi ke bahasa Inggeris.

Kini karya yang juga digelar “Quran bahasa Parsi” telah diterjemahkan lebih 26 bahasa dunia dalam pelbagai versi dan cetakan. Ia tidak termasuk pengadaptasian karya tersebut dalam bentuk lagu, filem dan drama pentas.

Melihat rupa bentuk buku Mathnawi Jalaluddin Rumi versi bahasa Melayu yang tebal-tebal berkulit keras sebanyak enam jilid, nampaknya bukan untuk dibaca secara santai. Ya betul! Profesor Ajmal semasa menterjemahkan buku ini menyatakan isi kandungan tersebut perlu dibaca untuk dikaji oleh penyelidik. Jadi apa perlunya orang biasa membacanya?

Di sinilah perlunya ada tangan-tangan yang menghuraikan isi kandungan Mathnawi yang sarat dengan puji-pujian tentang kehandalan, ketokohan dan kemasyhuran seseorang tokoh mengilustrasikan ia menjadi inspirasi, panduan, pengajaran dan nasihat kepada pembacanya.

Oprah Winfrey pernah menyatakan betapa perlunya beliau membaca karya Rumi sebelum tidur pada setiap malam. Ini kerana Rumi melontarkan kebijaksanaan pengetahuannya dengan penuh kelembutan. Karyanya sentiasa mengingatkan kita untuk berkelakuan dengan cara yang tepat kerana hakikatnya kita adalah manusia; ciptaan Tuhan yang paling hebat.

POLITIK KANDANG
karya George Orwell

Dalam senarai 100 Novel Terbaik yang dikeluarkan oleh majalah Time sepanjang tahun 1923 hingga 2005, Animal Farm karangan George Orwell termasuk dalam kedudukan 10 terbaik yang perlu dibaca. Satu lagi karya Orwell yang disenaraikan oleh Time adalah 1984. Namun ITBM memilih Animal Farm untuk diterjemahkan oleh Al-Mustaqim Mahmood Radhi menjadi Politik Kandang dalam versi bahasa Melayu.

Politik Kandang adalah novel satira politik “agung” yang penuh dengan humor dan sindiran berkenaan keadaan siasah di manamana negara. Sungguhpun diharamkan pengedarannya di Rusia, Emiriah Arab Bersatu, Vietnam dan China, seharusnya kita sebagai rakyat Malaysia berasa bersyukur Politik Kandang boleh dibeli dan dibaca di mana-mana sahaja. Malah karya tersebut sering dipentaskan untuk tontonan ramai di The Kuala Lumpur Performing Arts Centre, Sentul.

Novel versi bahasa Melayu ini boleh dikatakan yang “paling suci” dalam sejarah  penerbitan karya Orwell kerana tidak terpapar langsung imej babi walaupun binatang tersebut memainkan watak utama. Taktik berpolitik yang penuh dengan penipuan, pemesongan fakta, propaganda, dan tohmah fitnah diguna pakai oleh Napoleon, babi yang menjadi ketua kepada sekumpulan binatang di kandang Mr. Jones.

Animal Farm yang sulung diterbitkan pada 17 Ogos 1945, namun senario semasa politik tanah air dan dunia kini berkehendakkan kita untuk membaca dan menghadamkan buku ini. Bukanlah untuk belajar teknik dan seterusnya terjun ke dunia politik, tetapi untuk bergelak ketawa melihat permainan ahli politik yang tidak banyak bezanya dengan Napoleon, Snowball, Old Major, Boxer, Squeler dan kawan-kawannya.

DUNIA SOPHIE
karya Jostein Gaarder

Inilah novel terjemahan yang berulang-ulang cetakannya oleh ITBM sejak siap diterbitkan pada 2006. Pertama kerana Sophie’s World diangkat sebagai novel wajib dibaca sekiranya mahu mengkaji sejarah falsafah dan dialektik secara fiksyen.

Kedua kerana karya terjemahan Allahyarham Datuk Hassan Ahmad, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini memang terkenal di seluruh dunia hingga diterjemahkan kepada lebih 60 bahasa dan meraih jumlah cetakan lebih 40 juta naskhah, tidak termasuk versi adaptasi ke filem, siri televisyen, lagu dan permainan komputer.

Indahnya tulisan Gaarder ini menaratifkan remaja perempuan, Sophie Amundsen, berusia 14 tahun yang mula meniti keindahan zaman remajanya. Dunianya mula berubah apabila beliau menerima surat misteri yang mengajukan beberapa persoalan mudah, “Siapakah kamu?” dan “Dari manakah asalnya dunia ini?”

Walaupun soalan tersebut nampak biasa-biasa saja, tetapi ia benar-benar menggugah pemikiran anak gadis tersebut. Selanjutnya pemikiran Sophie dialihkan daripada berfokus mencari siapa pengirim surat kepada inti pati yang terkandung dalam surat tersebut.

Selain Dunia Sophie, terdapat satu lagi karya Gaarder turut diterjemah dan diterbitkan oleh ITBM, iaitu Gadis Oren (The Orange Girl). Namun karya Gaarder tersebut tidak dapat mengulangi kehebatan Dunia Sophie sama ada di Malaysia dan juga antarabangsa kerana ia berada di kelasnya yang berlainan.

Dunia Sophie merupakan pilihan terbaik bagi pembaca muda yang mula berjinak-jinak dalam pembacaan serius kerana penceritaannya santai dan mudah difahami.

SANDOKAN: LANUN MALAYSIA
karya Emilio Salgari

Faktanya, Emilio Salgari tidak pernah datang ke bumi Malaysia semasa menulis novel I pirati della Malesia (dalam bahasa Itali) atau The Pirates of Malaysia. Keduanya, novel tersebut diterbitkan pada tahun 1896, sedangkan nama “Malaysia” mula diguna pakai pada tahun 1963.

Hanya berbekalkan bacaan buku A Visit to the Indian Archipelago in H.M. Ship Maeander: With Portions of the Private Journal of Sir James Brooke, K.C.B. tulisan Henry Keppel, Salgari dapat menghasilkan kisah pengembaraan lanun di Sarawak yang sangat berjaya. Plot novel ini disusun kemas seolah-olah di setiap halaman dan bab itu memberikan kesan sinematik yang mengujakan kita.

Di benua Amerika Latin, Sandokan: Lanun Malaysia mempunyai banyak peminat yang menjadi inspirasi banyak penulis hebat kerana mereka membesar dengan siri pengembaraan Sandokan. Antaranya Gabriel Garcia Marquez, Carlos Fuentes, Julio Cortazar, Cesar Aira, dan Borges.

Sungguhpun novel ini tidak memberikan gagasan pemikiran yang hebat serta fakta sejarah yang tepat, ia tetap novel fiksyen yang membolehkan pembaca berimaginasi untuk berlari selaju-lajunya, berlawan sekuat-kuatnya, berteriak sepuas-puas hati tanpa batasan.

Yang penting, orang jauh di luar sana telah lama menulis tentang kita dan diangkat-angkat sehingga kini dalam pelbagai versi.

Sebenarnya ada banyak lagi karya dunia yang berstatus “wajib diterjemahkan ke bahasa Melayu”. Namun sebelum pembaca bertanyakan mengapa ITBM tidak menterjemahkan buku itu dan ini, lebih baiklah habiskan membaca dan menghadamkan empat buku ini terlebih dahulu.

CATEGORIES