Berita

3,000 warga emas di Muar terima vaksin PPV bergerak pertama di Johor

PPV bergerak yang menggunakan sebuah bas yang diubah suai itu bertujuan memudahkan warga emas di kawasan luar bandar atau pedalaman di daerah itu mendapatkan vaksin dan mempercepatkan proses vaksinasi golongan itu dalam usaha mencapai imunisasi kelompok. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 9 Jun 2021 10:00 AM MYT

SERAMAI 3,000 warga emas di daerah ini akan menerima suntikan vaksin menerusi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak pertama di Johor yang diadakan di Air Hitam dan Sungai Balang bermula hari ini hingga 23 Jun depan.

Pegawai Daerah Muar Mustaffa Kamal Shamsudin berkata daripada jumlah itu, 1,000 orang akan menerima suntikan vaksin di Kompleks Penghulu Mukim Air Hitam mulai hari ini hingga 13 Jun, manakala 2,000 orang akan menerima di Kompleks Penghulu Mukim Sungai Balang bermula 14 Jun hingga 23 Jun ini.

PPV bergerak yang menggunakan sebuah bas yang diubah suai itu bertujuan memudahkan warga emas di kawasan luar bandar atau pedalaman di daerah itu mendapatkan vaksin dan mempercepatkan proses vaksinasi golongan itu dalam usaha mencapai imunisasi kelompok.

“Warga emas yang akan menerima vaksin di PPV bergerak ini terdiri daripada mereka yang berdaftar dengan aplikasi MySejahtera dan telah mendapat tarikh janji temu suntikan vaksin COVID-19 tetapi tempat tinggalnya jauh daripada PPV yang ditetapkan.

“Termasuk juga warga emas yang sebelum ini belum berdaftar, namun akhir Mei lepas Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Muar dengan kerjasama penghulu dan ketua kampung menolong mendaftarkan mereka sehingga mendapat tarikh janji temu di PPV bergerak ini,” katanya kepada pemberita selepas melihat pengoperasian hari pertama PPV bergerak di Kompleks Penghulu Mukim Air Hitam di sini hari ini.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan PKD Muar Dr Noorhaidah Ujang berkata seramai 198 orang warga emas akan menerima suntikan vaksin COVID-19 pada hari pertama di PPV bergerak itu yang akan beroperasi setiap hari mulai 8 pagi hingga 5 petang.

“Kira-kira 50 orang termasuk petugas kesihatan dan sukarelawan terlibat dengan operasi PPV bergerak ini,” katanya.

Penerima vaksin, Sowo Salleh, 84, berkata dia sangat gembira dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan di PPV bergerak itu termasuk kemudahan tempat letak kereta dan mesra warga emas selain petugas yang banyak membantu menunjuk arah dan proses ke tempat vaksin.

“Syukur kerana dapat suntikan di PPV bergerak ini. Hanya kira-kira tiga kilometer (km) dari rumah di Kampung Parit Jepun. Sebelum ini, anak beritahu saya kena vaksin di Dewan Serbaguna Pagoh yang jaraknya lebih 30km tetapi dengan bantuan ketua kampung dan penghulu dapatlah ubah lokasi di sini,” katanya.

Bagi Mohd Taib@Paiman Abdullah, 71, yang tinggal di Bukit Naning, beliau berasa sangat lega kerana baru sahaja mendaftar permohonan di aplikasi MySejahtera baru-baru ini dan tidak menyangka tersenarai sebagai penerima vaksin pada hari pertama PPV bergerak berkenaan beroperasi.

“Pada mulanya bimbang untuk mendaftar vaksin sebab saya risau dapat lokasi PPV yang jauh, apatah lagi sebelum ini hanya ada dua sahaja lokasi PPV di daerah ini iaitu di Bandar Muar dan satu lagi di Pagoh, tapi kini syukur PPV bergerak ini ada dan ia sangat dekat dengan rumah,” katanya.

Terdahulu tinjauan Bernama mendapati penerima vaksin mula tiba secara berperingkat di perkarangan Kompleks Penghulu Mukim Air Hitam sejak kira-kira pukul 7.45 pagi sambil ditemani anak mereka selain tiada kesesakan lalu lintas dan orang ramai tidak beratur panjang.

Proses vaksinasi di PPV bergerak itu berjalan lancar dengan dikawal petugas keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Sukarelawan Malaysia. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas