Berita

30 program Hari Wilayah Persekutuan diadakan di Labuan

RITHUAN semasa sidang media pelaksanaan 30 program SHWP2022 di Wisma Perbadanan Labuan, hari ini.
- Diterbit 21 Januari 2022 12:33 PM MYT

SEBANYAK 30 program bakal diadakan di pulau bebas cukai ini sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2022 (SHWP2022) mengikut  prosedur operasi standard (SOP) norma baharu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail berkata, sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada tahun ini bertemakan ‘Keluarga Malaysia’#SHWP2022, #WilayahKita #OurCityOurHome.

Katanya, pelbagai program telah dirangka dengan pelaksananya akan diadakan pada setiap minggu sepanjang Februari ini.

“Walaupun sambutan diadakan dalam persekitaran norma baharu, dengan pematuhan SOP COVID-19 dan kawalan yang ketat semasa perhimpunan, sambutan kali ini akan lebih bermakna apabila kita dapat kembali meraikannya selepas dua tahun pandemik melanda.

“Sambutan SHWP2022 akan dimulakan dengan pertandingan Cabaran Tik Tok 2022 mulai dari 24 Januari hingga 28 Februari, diikut aktiviti pencahayaan Wilayah Persekutuan pada 30 Januari hingga 28 Februari,” katanya pada sidang media di Wisma Perbadanan Labuan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata program lain yang turut diadakan adalah pelancaran pengibaran bendera Wilayah Persekutuan, bacaan surah Yassin dan doa selamat serta pameran Keluarga Malaysia, acara sukan dan muzik pada 5 hingga 28 Februari dan Kenduri Wilayah pada 24 Februari.

Selain itu, Rithuan turut memaklumkan pihaknya akan mengadakan kempen diskuan penjualan kupon letak kereta dan diskaun bayaran kompaun letak kereta pada 4 sehingga 28 Februari.

“Kempen ini akan dilaksanakan dalam tempoh satu bulan. Kita harap semua warga Labuan mengambil peluang ini untuk menyemak semula jika mempunyai kompaun,” katanya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas