26 buah bot milik agensi di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dikerahkan sebagai usaha untuk membantu mangsa banjir di Taman Seri Muda, Shah Alam.
Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, pihaknya turut menghantar jentera berat milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj), Angkatan Pertahanan Awam (APM) turut digunakan dalam operasi menyelamat di kawasan berkenaan.
“Ia termasuk bot yang kita sewa daripada pihak persendirian bersaiz sederhana dan sebahagian daripada bot ini tidak dapat digerakkan ke sini kerana ada kesesakan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi menyelamat mangsa banjir di sini hari ini.
Menurut Shahidan, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) akan menyalurkan bantuan dalam bentuk hamper makanan kepada mangsa yang enggan berpindah.
“Hari ini kita sediakan kira-kira 2,000 pek makanan kering sumbangan Syarikat KK Mart dan esok lagi 3,000 pek akan dihantar ke sini.
“YWP akan mengkoordinasi bantuan-bantuan daripada pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta,” katanya.
Taman Seri Muda merupakan kawasan paling teruk terjejas ekoran hujan lebat berterusan selama dua hari. Sehingga kini kerja-kerja menyelamat masih giat dijalankan.-WILAYAHKU