Berita

25,677 pemilik terima pengurangan cukai taksiran

Anwar (tiga dari kanan hadapan) merasmikan Tempat Letak Kereta (TLK) Taman Tasik Metropolitan Kepong yang dibina untuk kemudahan warga kota atau pengunjung tasik berkenaan, hari ini.
- Diterbit 23 Jun 2023 12:00 PM MYT

SERAMAI 25,677 pemilik rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerima pengurangan 25 peratus cukai taksiran bermula penggal kedua tahun (Julai hingga Disember) tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata diskaun itu diberikan kepada kategori kediaman mampu milik yang telah siap selepas tahun 2014 sehingga kini dengan melibatkan pengurangan hasil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebanyak RM2.07 juta setahun.

Jelas beliau, kategori yang layak bagi inisiatif ini adalah Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA), Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) dan Residensi Wilayah di Kuala Lumpur.

“Saya dengar banyak keluhan rakyat di peringkat bawahan yang meminta diberikan pengurangan, jadi saya bersetuju memberikannya.

“Semoga pengurangan cukai taksiran ini dapat mengurangkan beban kos sara hidup warga B40 dan M40 di Kuala Lumpur,” kata beliau pada Sesi Temu Mesra Perdana Menteri bersama Pemilik Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan Perasmian Tempat Letak Kereta Taman Tasik Metropolitan Kepong, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr Kamarulzaman Mat Saleh dan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar.

Dalam pada itu, Anwar turut meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur mempercepatkan projek perumahan yang sudah mendapat kelulusan sekali gus dapat mengurangkan penambahan kos pembangunan.

“Kita mahu Kuala Lumpur ini dikenali sebagai bandar raya contoh dengan pembangunan dan keprihatinan terhadap nasib rakyat. Biar semua bandar raya lihat contoh ini.

“Kita juga akan pastikan rumah mewah disediakan supaya mereka yang mampu boleh hidup tetapi dalam masa yang sama kita juga kena pastikan rumah rakyat miskin dan rumah mampu milik turut disediakan barulah ada erti pembangunan,” kata beliau.

Pada sesi temu mesra itu, beliau turut melancarkan Tempat Letak Kereta (TLK) Taman Tasik Metropolitan Kepong yang dibina bagi kemudahan warga kota khususnya pengunjung taman tasik berkenaan.

TLK ini siap dibina pada April 2020 dan telah dibuka kepada orang ramai mulai Ogos 2020. Ia dibuka pada pukul 7 pagi hingga 7 malam dan mempunyai ketinggian tujuh tingkat serta mampu menempatkan 497 kereta. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas