SERAMAI 20 orang warga Sekolah Menengah Sains Labuan (SMSL) berjaya menawan Gunung Kinabalu pada 3 hingga 4 Februari lalu.
Ketua Delegasi SMSL, Rohana Yasin berkata Kumpulan Pendaki SMSL yang dikenali sebagai Geng Hiking Excel (GHE) itu turut disertai guru-guru, staf dan ibu bapa selaku wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Katanya, program pendakian ini bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan antara warga SMSL dan memberi peluang kepada pendaki melihat keindahan Gunung Kinabalu.
Berkongsi pengalamannya, jelas Rohana, mereka telah menjalani latihan selama sebulan sebelum mendaki puncak tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara tersebut.
Katanya, program ini telah dirancang sejak tahun 2019 lagi namun hanya dapat dilaksanakan pada tahun ini akibat pandemik COVID-19 yang telah melanda seluruh dunia.
Bercerita lanjut mengenai perjalanan sepanjang pendakian itu, Rohana berkata, mereka telah memulakan pendakian dari Timpohon pada pagi Khamis, 3 Februari dan tiba di Panalaban pada pukul 4 petang.
Kemudian mereka memulakan pendakian menuju puncak Gunung Kinabalu seawal pukul 2 pagi dan tiba di puncak pada 6 hingga 7 pagi pada Jumaat, 4 Februari 2022.
Katanya, antara cabaran yang dilalui oleh mereka adalah mengekalkan stamina berikutan oksigen yang semakin berkurangan ketika berada pada aras tinggi, cuaca hujan menyebabkan mereka terpaksa melalui jalan licin ketika menuruni Gunung Kinabalu.
“Namun semua cabaran dan halangan tersebut dapat diatasi dengan adanya sokongan daripada rakan-rakan dan juga pendaki yang lain.
“Alhamdulillah, semua pendaki berjaya sampai ke puncak Gunung Kinabalu.
“Pendakian ini tidak mudah namun sudah pasti akan menjadi kenangan untuk kami sampai bila-bila,” tambah Rohana.
Beliau yang juga Penolong Kanan Pentadbiran SM Sains Labuan tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada Pengetua SMSL, A Zailani Mumin dan semua guru yang sentiasa memberi dorongan dan semangat. – WILAYAHKU