Berita

2.9 juta pengguna TNB dapat diskaun 40 peratus

2.9 juta pengguna elektrik domestik di semenanjung Malaysia yang menggunakan elektrik bulanan sebanyak 200 Kilowatt jam (kWJ), bakal menikmati diskaun 40 peratus.
- Diterbit 29 Jun 2021 4:11 AM MYT

ORANG ramai boleh menarik nafas lega berikutan pengumuman diskaun bil elektrik kepada pengguna mengikut kegunaan masing-masing.

Berdasarkan pecahan tersebut, 2.9 juta pengguna elektrik domestik di semenanjung Malaysia yang menggunakan elektrik bulanan sebanyak 200 Kilowatt jam (kWJ), bakal menikmati diskaun 40 peratus.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata seramai 1.4 juta pengguna domestik yang menggunakan elektrik bulanan antara 201kWj hingga 300kWj pula akan mendapat diskaun 15 peratus.

Selain itu, katanya, seramai 2.4 juta pengguna domestik dengan penggunaan elektrik antara 301kWj hingga 600kWj akan menerima diskaun 10 peratus.

“Ia berdasarkan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), pada Isnin.

“Pengumuman itu memaklumkan mengenai pemberian diskaun bil elektrik secara bersasar kepada pengguna domestik dan bukan domestik di semenanjung dan Sabah,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Shamsul Anuar berkata, bagi pengguna bukan domestik di semenanjung pula, kerajaan bersetuju memberikan diskaun lima peratus kepada pengguna elektrik bawah kategori tarif komersial, industri dan pertanian di bawah voltan rendah.

“Pemberian diskaun ini diharap dapat membantu pengusaha kecil dan sederhana (PKS) mengurangkan kos operasi mereka,” katanya.

Shamsul Anuar berkata, pengguna elektrik dalam enam sektor perniagaan terpilih bawah inisiatif Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) pula akan terus menerima diskaun 10 peratus dalam tempoh sama.

Katanya, diskaun bil elektrik secara bersasar kepada pengguna elektrik di semenanjung itu akan dibiayai secara bersama oleh kerajaan sebanyak RM413 juta dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan peruntukan RM50 juta.

Sementara itu, bagi pengguna elektrik di Sabah pula, beliau berkata, seramai 220,000 pengguna domestik yang menggunakan elektrik bulanan sebanyak 200kWj dan ke bawah akan menerima diskaun 40 peratus.

Katanya, seramai 90,000 pengguna domestik yang menggunakan elektrik bulanan antara 201kWj hingga 300kWj akan menerima diskaun sebanyak 15 peratus.

“Seramai 110,000 pengguna domestik yang menggunakan elektrik bulanan antara 301kWj hingga 500kWj akan menerima diskaun 10 peratus.

“Seramai 90,000 pengguna domestik yang menggunakan elektrik bulanan antara 501kWj hingga 1000kWj akan menerima diskaun lima peratus,” katanya.

Bagi pengguna bukan domestik di Sabah pula katanya, pengguna kategori komersial, industri dan pertanian bervoltan rendah akan menikmati diskaun bil elektrik lima peratus.

“Pemberian diskaun bil elektrik di Sabah dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan dengan dana berjumlah RM24 juta,” katanya.

Shamsul Anuar berkata, usaha itu turut mengambil kira keputusan kerajaan untuk mengekalkan rebat sebanyak dua sen/kWj kepada pengguna elektrik di semenanjung dengan memperuntukkan dana berjumlah RM493 juta.

Katanya, jumlah keseluruhan kos pemberian rebat di semenanjung dan diskaun elektrik di semenanjung dan Sabah ialah RM980 juta iaitu RM930 juta yang dibiayai oleh kerajaan manakala TNB, RM50 juta.

“Selain itu, kerajaan meneruskan usaha membantu rakyat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dengan kerjasama TNB.

“Ini termasuk tiada pemotongan bekalan elektrik kepada semua pengguna sepanjang tempoh PKP 3.0 Fasa 1; penangguhan pemotongan bekalan elektrik kepada pengguna domestik yang mempunyai tunggakan bil tidak melebihi enam bulan sehingga 30 September 2021.

“Selain itu, Pelan Bayaran Mudah untuk pengguna domestik ditawarkan sehingga 31 Disember 2021,” katanya.

Beliau berkata, bagi pengguna di Sabah pula, pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) turut melaksanakan inisiatif termasuk tiada pemotongan bekalan elektrik kepada semua pengguna sehingga 31 Julai 2021. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas