19 individu dipanggil beri keterangan berkait himpunan
ACP Amihizam Abdul Shukor berkata sembilan aktivis yang menyertai perhimpunan di LRT Bangsar pada Sabtu lepas telah dikenal pasti manakala bakinya adalah mereka yang hadir pada perhimpunan di sebuah restoran pada Jumaat. Kredit foto: Bernama

19 individu dipanggil beri keterangan berkait himpunan

POLIS telah mengambil keterangan 19 aktivis yang menghadiri perhimpunan di sebuah restoran dan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar, setakat 8 malam ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata daripada jumlah tersebut, sembilan aktivis dikenal pasti menyertai perhimpunan di LRT Bangsar pada Sabtu lepas manakala bakinya adalah mereka yang hadir pada perhimpunan di sebuah restoran pada Jumaat.

Katanya, seramai 94 peserta dan aktivis serta 12 pengunjung awam di kenal pasti menghadiri perhimpunan di dua lokasi tersebut, namun tiada tangkapan dibuat.

“Keterangan daripada saksi dibuat mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah selepas arahan diperoleh daripada Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur.

“Gambar tempat kejadian, gambar aktivis yang memberikan ucapan dan video semasa perhimpunan juga telah dirakam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amihizam berkata dua kertas siasatan dibuka di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, Kanun Keseksaan dan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 berhubung perhimpunan tersebut.

Katanya, siasatan mendapati perhimpunan tersebut dibuat sebagai tanda protes terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Terdahulu, beberapa aktivis dan pemimpin parti politik hadir pada 2.10 petang tadi dengan diwakili peguam masing-masing bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields susulan penyertaan mereka dalam himpunan #TangkapAzamBaki.

Antara yang hadir, Adam Adli Abdul Halim, Ketua Pemuda DAP Howard Lee,  Naib Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Dr Thanussha Francis Xavier, Setiausaha Agung Muda, Amira Aisya Abd Aziz; Ketua Pejuang Muda, Dr Abu Hafiz Salleh Huddin; Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Zubair Rahim dan Pengarah Strategik Pemuda Amanah, Asmaalif Abdul Adam.

“Polis menjalankan siasatan kes di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan peraturan-peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya. — BERNAMA

 

Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )