Berita

179 kes baharu dilaporkan, empat warga emas meninggal dunia

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH
- Diterbit 5 April 2020 10:03 AM MYT

PUTRAJAYA – Kes positif Covid-19 terus meningkat dengan terbaru sebanyak 179 dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 3,662 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat pukul 12 tengah hari tadi, sebanyak 90 kes pulih dilaporkan dan jumlah keseluruhan dibenarkan keluar wad berjumlah 1,005 individu.

“Berdasarkan rekod, 46 daripada jumlah kes baharu itu berkait dengan perhimpunan tabligh di Seri Petaling, Febuari lalu.

“Setakat ini, 99 pesakit dirawat di unit rawatan rapi dan 48 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, empat kematian baharu direkodkan dengan angkat kematian mencatat 61 mangsa.

Katanya, mangsa ke-58 iaitu lelaki berusia 72 tahun yang mempunyai sakit kronik mempunyai kontak rapat dengan pesakit lain dan disahkan meninggal dunia pukul  1.37 tengah hari semalam.

“Kes 59 dan 60, masing-masing lelaki berusia 68 dan 63 tahun manakala kes ke-61 membabitkan mangsa berusia 66 tahun yang mempunyai masalah buah pinggang, kencing manis serta darah tinggi,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas