Berita

150,934 petugas barisan hadapan KDN terima vaksin COVID-19

KDN juga telah mendapat kelulusan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) untuk pemberian vaksin kepada petugas kaunter perkhidmatan di KDN dan agensi di bawahnya. Kredit foto oleh: BERNAMA KDN juga telah mendapat kelulusan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) untuk pemberian vaksin kepada petugas kaunter perkhidmatan di KDN dan agensi di bawahnya. Kredit foto oleh: BERNAMA
- Diterbit 18 Jun 2021 7:34 AM MYT

HAMPIR 91 peratus atau 150,934 petugas barisan hadapan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menerima suntikan vaksin COVID-19 sekurang-kurangnya dos pertama, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Ia melibatkan 108,595 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Imigresen (11,738); Jabatan Penjara (15,411); Jabatan Sukarelawan Malaysia (11,328) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (3,862), katanya.

Daripada jumlah itu, seramai 133,781 petugas barisan hadapan terbabit telah melengkapkan suntikan dos kedua vaksin COVID-19.

“Petugas barisan hadapan KDN perlu rasa diberikan perlindungan iaitu vaksin COVID-19 untuk bertugas di sekatan jalan raya dan operasi di kilang-kilang,” katanya dalam sidang media rangkuman operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sekatan pergerakan penuh, di sini hari ini.

Hamzah berkata KDN juga telah mendapat kelulusan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) untuk pemberian vaksin kepada petugas kaunter perkhidmatan di KDN dan agensi di bawahnya.

Pemberian vaksin itu akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut jadual ditetapkan oleh Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas