“Dakwaan terima rawatan di Singapura tidak benar”
MUHYIDDIN ceria ketika mengadakan sidang video bersama Ismail Sabri dan Dr Noor Hisham dari kediaman beliau di Bukit Damansara.

“Dakwaan terima rawatan di Singapura tidak benar”

Perdana Menteri jalani kuarantin 14 hari di kediaman beliau di Bukit Damansara

PUTRAJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan dakwaan menyatakan beliau berada di Singapura bagi menjalani rawatan kesihatan di negara itu adalah tidak benar sama sekali.

Perdana Menteri menjelaskan, beliau sedang menjalani kuarantin di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

“Ada yang mendakwa saya berada di Singapura bagi menjalani rawatan kesihatan di sana. Saya ingin nyatakan dakwaan itu tidak benar sama sekali.

“Untuk makluman, saya sedang menjalani kuarantin di rumah saya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur,” kata Perdana Menteri dalam laman Facebook petang semalam.

Penjelasan Perdana Menteri itu dibuktikan apabila beliau memuat naik gambar-gambar sesi sidang video bersama Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

“Alhamdulillah, tengah hari tadi saya telah berpeluang mengadakan sidang video bersama Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bagi mendapatkan perkembangan terkini tentang situasi Covid-19 di Malaysia,” katanya.

MUHYIDDIN berinteraksi bersama Ismail Sabri (kiri) dan Dr Noor Hisham dalam sidang video petang semalam. Gambar Facebook Muhyiddin Yassin

Dalam interaksi bersama mereka yang berlangsung selama 40 minit itu, Muhyiddin berkata, beberapa perkara utama telah dibincangkan antaranya kempen menggalakkan pemimpin masyarakat memperkasa komuniti untuk memelihara mereka daripada jangkitan virus itu.

“Saya percaya kempen ini dapat mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab dalam memastikan SOP yang ditetapkan dipatuhi dan akhirnya akan meringankan beban petugas barisan hadapan,” ujarnya.

Perdana Menteri berkata, langkah ini juga sangat penting dalam merangka “exit plan” bagi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang juga merupakan kriteria terakhir mesti dipenuhi sebelum perintah itu boleh ditamatkan.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengesahkan beliau sendiri telah mengarahkan proses penghantaran balik pendatang asing tanpa izin (PATI)  disahkan negatif Covid-19 dipercepatkan.

“Saya telah mengarahkan supaya proses tersebut dipercepatkan bagi mengurangkan risiko penularan semula jangkitan Covid-19 dalam kalangan PATI yang berada di depot tahanan Imigresen.

“Keseluruhannya, saya amat berpuas hati dengan pencapaian semasa usaha memerangi Covid-19 seperti yang dimaklumkan kepada saya oleh Datuk Seri Ismail Sabri dan Datuk Dr Noor Hisham.

“Saya percaya, sekiranya seluruh masyarakat dapat bekerjasama dan mengambil tanggungjawab menjaga komuniti masing-masing, negara kita akhirnya akan berjaya mengakhiri penularan wabak Covid-19,” kata Perdana Menteri. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS