Berita

12 Rang Undang-Undang diluluskan di Parlimen

- Diterbit 4 April 2023 9:15 AM MYT

SETELAH 31 hari bersidang, persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 melabuhkan tirai hari ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul dalam ucapan penangguhannya menzahirkan rasa syukur  kerana pada persidangan Dewan Rakyat kali ini, pembukaan penggal parlimen dapat dilaksanakan dengan penuh istiadat setelah tiga tahun negara berhadapan dengan penularan wabak COVID-19.

“Mesyuarat pada kali ini juga telah memperlihatkan pelbagai pembaharuan yang diterapkan dalam urusan Dewan Rakyat antaranya jumlah pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan kerap kali melebihi daripada 10 pertanyaan lisan.

“Ini disusuli urusan Kamar Khas yang telah memberi peluang kepada Ahli Yang Berhormat seramai tujuh ahli daripada pihak kerajaan dan enam ahli daripada pihak pembangkang untuk mempengerusikan secara sementara mesyuarat Kamar Khas di bawah Peraturan Mesyuarat 16 (5), tidak pernah terjadi,” katanya.

Beliau kemudian menangguhkan persidangan ke satu tarikh yang tidak ditetapkan.

Persidangan yang bermula 13 Feb lepas dimulakan dengan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Memetik Titah Diraja, Seri Paduka menzahirkan permuafakatan tercapai dalam kalangan pimpinan parti Kerajaan Perpaduan membolehkan negara menjana pertumbuhan ekonomi yang menjamin kesejahteraan rakyat, selain dapat mewujudkan kestabilan politik.

Buat pertama kali pada sidang ini juga, sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) pada setiap Selasa dijawab oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, sebanyak 12 rang undang-undang diluluskan iaitu Rang Undang-Undang Perbekalan 2023, Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2022) 2023, Rang Undang-Undang Kewangan 2023 dan Rang Undang-Undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pengesahan) 2023.

Pemerkasaan undang-undang terhadap pesalah jenayah kanak-kanak turut mendapat perhatian Dewan Rakyat apabila Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 dan Rang Undang-Undang Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 diluluskan.

Selain itu Rang Undang-Undang Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan), Rang Undang-Undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023, Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2023 turut diluluskan.

Tidak ketinggalan Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023, Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2023, Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2023 dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2023.

Sesi kali ini turut diwarnai dengan gelagat dan drama Ahli Parlimen pembangkang yang beberapa kali menimbulkan kekecohan sehingga memaksa Johari dan dua timbalannya mengeluarkan amaran, malah ada diarahkan keluar dewan seperti Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) dan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang).

Antara isu sering dibangkitkan semasa sesi perbahasan adalah mengenai pengeluaran bersasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), isu kesihatan dan doktor kontrak, sekolah daif dan pertahanan negara.

Mengikut takwim di laman rasmi Parlimen, Dewan Rakyat akan bersidang semula pada 22 Mei hingga 15 Jun depan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas