Berita

1,150 calon menduduki peperiksaan bertulis SPM di Labuan

- Diterbit 30 Januari 2024 11:54 AM MYT

SERAMAI 1,150 calon menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di 14 pusat peperiksaan di Labuan, berlangsung hari ini hingga 7 Mac 2024.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL), Abidin Marjan berkata, seramai 1,082 daripadanya terdiri calon sekolah sementara baki terdiri calon kolej vokasional, sekolah swasta dan calon persendirian.

ABIDIN (berdiri) berkesempatan menyampai ucapan maju jaya kepada calon-calon peperiksaan bertulis SPM di SMK Lajau, hari ini

Katanya, bagi memastikan kelancaran pengendalian peperiksaan itu, seramai 98 petugas peperiksaan telah dilantik.

“JPWPL mengucapkan selamat menduduki peperiksaan kepada semua calon dan semoga diberikan ketenangan menghadapi peperiksaan ini dan memperolehi kejayaan yang diimpikan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan sempena Hari Pertama Peperiksaan Bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Lajau, hari ini.

Mengulas lanjut, Abidian berkata peperiksaan itu hanya melibatkan 95 mata pelajaran peperiksaan dijalankan serta tiada peperiksaan pada cuti hujung minggu dan hari kelepasan am atau negeri.

” Secara prinsip Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menetapkan bahawa tiada sebarang peperiksaan awam dilaksanakan pada cuti hujung minggu, cuti pelepasan am persekutuan dan negeri serta cuti tambahan yang diumumkan KPM.

“Namun disebabkan terdapat banyak hari pelepasan am persekutuan dan negeri atau secara ringkasnya cuti umum maka tempoh peperiksaan ini agak panjang,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas