SERAMAI 105 orang jurulatih dari Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dilantik untuk membimbing skuad Wilayah Persekutuan (WiPers) dalam menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos 2024.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan & Ekonomi) Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Parang Abai@Thomas, pemilihan tersebut dibuat menerusi penilaian dan tapisan secara terperinci daripada Panel Kejurulatihan dan Sains Sukan MSWP yang dipengerusikan oleh Datuk Mohd Nasir Ali yang juga merupakan Ahli Majlis MSWP.
“Seramai 66 orang jurulatih daripada Program WiJuara serta 39 jurulatih Program Bakat Wilayah Persekutuan telah dipilih bagi menerajui sukan masing-masing menuju SUKMA ke-21 di Sarawak.

“Selain daripada jurulatih yang sudah lama berkhidmat, saya juga mengucapkan selamat datang kepada semua jurulatih yang baharu dilantik ke keluarga besar WiPers. Saya memberikan kepercayaan penuh kepada kalian untuk memastikan pencapaian cemerlang atlet masing-masing,” katanya ketika Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Jurulatih MSWP 2023 yang diadakan di Auditorium Menara Seri Wilayah pada Rabu.
Dalam masa sama, Parang Abai memaklumkan beberapa program telah diadakan termasuklah ceramah kesihatan dan psikologi yang diharap dapat memberikan serba sedikit pengetahuan baharu serta boleh diguna pakai oleh jurulatih bersama atlet masing-masing.
“Oleh kerana tempoh masa yang diberikan agak singkat, saya menuntut komitmen dan kerjasama penuh semua jurulatih sukan untuk memastikan setiap atlet yang bertanding di SUKMA akan melakukan yang terbaik dalam memastikan pencapaian hebat kontinjen Wilayah Persekutuan pada kali ini,” ujarnya.
Di samping itu, Pengarah MSWP, Nik Ahmad Zahiruddin Nik Saleh berkata tugas sebagai seorang jurulatih adalah berat namun kejayaan turun naik seseorang atlet itu banyak dipengaruhi oleh kekuatan jurulatih dalam mencorakkan atlet masing-masing.
“Selain tugas utama merancang program latihan hingga mencapai ke tahap prestasi terunggul, jurulatih juga perlu memantau perkembangan prestasi atlet, mengenal pasti kelemahan dan kekuatan yang ada serta memberi sokongan moral kepada atlet selain ditambah dengan kerja-kerja pentadbiran yang perlu dilakukan.
“Seorang jurulatih juga memegang pelbagai peranan termasuklah sebagai pengajar, penilai, rakan, mentor, fasilitator, penasihat, penyokong, pencari fakta, motivator, kaunselor, pemandu, perancang dan sumber segala ilmu selain sering kali menjadi ‘unsung hero’ kepada setiap kejayaan yang dirangkul atlet masing-masing,” ujarnya pihak MSWP amat menghargai segala jasa bakti dicurahkan jurulatih bagi memastikan Program Pembangunan Sukan berprestasi tinggi secara menyeluruh dan sistematik dapat dijalankan bagi kecemerlangan sukan di Wilayah Persekutuan.
Tambahnya lagi, diharapkan semua atlet dalam apa sahaja acara sukan tidak berasa terlalu selesa dan selamat dengan kedudukan masing-masing kerana pihak MSWP bakal menggugurkan sukan yang tidak memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan menjelang SUKMA di Sarawak.
“Selari dengan keputusan Ahli Majlis MSWP yang mahukan hanya sukan yang berada di landasan terbaik dihantar ke Sarawak, saya mahu mengingatkan jurulatih untuk memberikan yang terbaik dalam memastikan atlet Wilayah Persekutuan mencipta kejayaan lebih baik berbanding sebelumnya,” ujar beliau berharap semua jurulatih yang dilantik untuk bersama-sama berganding bahu bagi memastikan semua perancangan berjalan lancar dan mencipta kejayaan lebih cemerlang pada SUKMA akan datang.
Sebagai rekod, kontinjen WiPers menduduki tempat ketiga keseluruhan pada edisi ke-20 SUKMA yang diadakan pada tahun lepas dengan pencapaian 55 pingat emas, 69 perak dan 65 gangsa. – WILAYAHKU