Berita

100,000 pelajar IPT diberi kelonggaran balik rumah

Kerajaan turut aturkan pergerakan pulang bagi individu terperangkap di kampung
PERGERAKAN pulang pelajar dan orang ramai yang terperangkap di kampung akan diaturkan supaya tidak menjejaskan usaha perangi Covid-19. Gambar hiasan
- Diterbit 23 April 2020 1:46 PM MYT

PUTRAJAYA – Sejajar dengan trend penurunan kes positif Covid-19, kerajaan memutuskan untuk memberikan sedikit kelonggaran dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kelonggaran tersebut bakal diberikan kepada para pelajar institusi pengajian tinggi yang masih berada di kampus masing-masing

“Di peringkat awal dahulu mereka tak dibenarkan pulang kerana keadaan masih belum menentu dan kita nak pastikan mereka selamat, Insya-Allah boleh pulang ke rumah masing-masing sedikit masa lagi.

“Proses untuk membawa pelajar-pelajar ini pulang sedang dirancang oleh kerajaan dengan nasihat Kementerian Kesihatan,” katanya dalam perutusan khas malam ini.

Perdana Menteri berkata, jumlah pelajar yang terlibat adalah besar iaitu hampir 100,000 orang sekali gus memerlukan kerajaan merancang pergerakan mereka dengan teliti untuk pastikan ia teratur dan tidak menyebabkan risiko jangkitan.

Sebelum dibenarkan pulang, beliau berkata, semua pelajar ini akan dipastikan benar-benar sihat dan tidak mempunyai gejala Covid-19.

“Kepada anak-anak kita yang berada di kampus, Insya-Allah dalam tempoh yang tak berapa lama lagi, anda semua boleh pulang ke pangkuan keluarga,” katanya.

Muhyiddin menjelaskan, butiran terperinci mengenai pergerakan pulang itu akan diumumkan oleh kerajaan dalam masa terdekat.

“Jadi, kepada ibu bapa sabar dulu. Beri sedikit masa kepada pihak kementerian yang berkaitan untuk menguruskan perkara ini.

“Saya tahu anda semua rindukan anak masing-masing. Insya-Allah, dalam sedikit masa lagi, anak-anak anda dah boleh berada di rumah. Yang penting mereka semua boleh pulang dengan selamat,” katanya.

Keduanya, Perdana Menteri berkata, orang ramai yang berada di kampung atau di tempat lain dan hendak balik semula ke rumah masing-masing, kerajaan sedang menimbang untuk memberikan kebenaran satu kali perjalanan bagi tujuan tersebut.

“Kebenaran hanya diberikan kepada mereka yang terperangkap di kampung atau di tempat lain sebelum kerajaan melaksanakan PKP yang pertama,” katanya.

Jelas Perdana Menteri, memandangkan ia bakal melibatkan pergerakan yang besar, kerajaan sedang mengumpul data dan mengkaji kaedah yang terbaik untuk mengatur perkara itu.

“Mereka yang terlibat boleh mendaftar secara online di aplikasi yang disediakan oleh PDRM, atau membuat temujanji untuk hadir ke balai polis bagi tujuan membuat pendaftaran.

“Adalah penting untuk pihak polis mengatur perjalanan saudara-saudari supaya tidak berlaku kesesakan di jalan raya atau di hentian-hentian di lebuh raya.

“Anda juga perlu pastikan anda sihat dan tidak mempunyai apa-apa gejala sebelum memulakan perjalanan. Butiran terperinci mengenai perkara ini akan diumumkan oleh kerajaan dalam masa terdekat,” jelas Perdana Menteri sambil menegaskan kedua-dua langkah itu akan dipastikan teratur dan tidak menjejaskan usaha memerangi Covid-19. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas