Berita

1,000 pelajar Bandar Tun Razak terima insentif khas

AZIZAH (tiga kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pelajar cemerlang SPM 2022 di SMK Orkid Desa hari ini.
- Diterbit 21 Jun 2023 6:40 AM MYT

KIRA-KIRA 1,000 orang pelajar dari 14 buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) sekitar parlimen Bandar Tun Razak menerima sumbangan wang tunai yang disampaikan sendiri oleh Ahli Parimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut Wan Azizah majlis tersebut adalah merupakan satu inisiatif pejabat Parlimen Bandar Tun Razak bagi meraikan kejayaan murid cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang diumumkan baru-baru ini.

“Selain itu, kita turut menyantuni golongan asnaf dan berpendapatan rendah (B40) khususnya daripada kalangan murid-murid sekolah di sekitar parlimen Bandar Tun Razak ini.

“Kita mengharapkan dengan penghargaan ini dapat menyuntik semangat kepada para murid cemerlang SPM 2022 untuk terus berjaya dalam pelajaran dan sumbangan ini dapat membantu meringankan beban keluarga murid-murid tersebut,” katanya ketika merasmikan Majlis Sumbangan Murid Cemerlang SPM 2022 dan Program Bantuan Khas Murid bertempat di Dewan Utama SMK Orkid Desa.

Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Yayasan Bank Rakyat yang menjadi penaja sumbangan pada majlis ini.

“Ia menunjukkan bahawa pihak Yayasan Bank Rakyat ini amat prihatin dan menitikberatkan konsep berkongsi serta amalan bersedekah,” ujar beliau yang mengharapkan amalan tersebut akan dijadikan contoh kepada generasi akan datang.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Operasi Yayasan Bank Rakyat, Mohd Mukhti Abd Rahman berkata pihaknya memainkan peranan bagi membantu menyediakan bantuan persekolahan kepada murid daripada kalangan B40 dana asnaf.

“Saya harap menerusi program ini lebih ramai pelajar dibantu dan semoga ia dapat memberi motivasi buat mereka belajar lebih baik.

“Ia juga bagi memberi pendedahan kepada pelajar khususnya daripada golongan B40 bahawa akan ada pihak yang sedia membantu buat mereka yang ingin melanjutkan pelajar ke peringkat lebih tinggi,” jelasnya Yayasan Bank Rakyat menyumbangkan sejumlah RM100,000 bagi membantu pelajar sekolah yang memerlukan. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas