Berita

10 pasukan bakal berentap di KLWSL 2023 

HANNAH (tengah) ketika gimik Pelancaran Kuala Lumpur Women's Super League 2023 yang diadakan di Arena Sukan Kuala Lumpur.
- Diterbit 19 Ogos 2023 9:33 AM MYT

10 pasukan dari pelbagai negeri bakal berentap di Kejohanan Bolasepak Liga Super Wanita Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Women’s Super League (KLWSL) 2023 bermula esok.

Pengarah Program KLWSL, Khushairi Aizad berkata ia merupakan penganjuran kali kedua selepas penganjuran kali pertama pada tahun 2021.

“Antara penambahbaikan bagi kali ini adalah sebanyak 10 pasukan dari Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Kelantan akan bertanding bermula esok sehingga 15 Oktober 2023.

“Lokasi pertandingan bagi saingan peringkat kumpulan  akan diadakan di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) Setiawangsa dan Mini Stadium Setiawangsa manakala suku akhir, separuh akhir dan final bertempat di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras,” katanya pada Sidang Media Pelancaran KLWSL 2023 yang diadakan bertempat di Arena Sukan Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir merasmikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar, Perubahan Iklim merangkap Penaung WSKL, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Khushairi berkata KLWSL adalah platform terbaik untuk golongan wanita mengasah dan mencungkil bakat dalam sukan bola sepak.

Dalam pada itu, Hannah Yeoh berkata ia juga merupakan antara hasrat atlet agar lebih banyak platform disediakan buat mereka membaiki ranking semasa.

“Dengan ada usaha seperti ini tak kisah siapa penganjur asalkan platform itu wujud, ia akan menarik lebih ramai peminat seterusnya dapat melahirkan lebih banyak pemain.

“Bola sepak juga sangat beruntung kerana ia sukan yang mempunyai ramai peminat di mana kita dapat lihat meskipun KLWSL masih di peringkat awal tetapi sudah ramai penaja. Kita kena manfaatkan peluang ini dengan mengadakan lebih banyak event seperti ini terutama di kawasan bandar Kuala Lumpur,” kata beliau.

Tambah beliau Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyokong Program Pembangunan Bolasepak Wanita ini untuk memacu ke arah negara sukan selaras Visi Sukan Negara 2030. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas