PEMBUAT filem Tamil di Malaysia berpeluang untuk melebarkan sayap ke peringkat global menerusi pertandingan filem pendek ZEE REEL.
Pengarah filem dari Malaysia, Dr Vimala Perumal, selaku barisan juri antarabangsa untuk pertandingan itu yang bermula 28 Oktober lalu berkata pembuat filem tempatan perlu mengetengahkan kisah dan kelebihan Malaysia yang belum pernah diceritakan sebelum ini.
“Pertandingan ini turut membabitkan juri dari India dan Singapura ia sekali gus memberi peluang keemasan kepada pembuat filem tempatan kita untuk menunjukkan bakat mereka dan diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya kepada Bernama dalam wawancara eksklusif, baru-baru ini.
Dr Vimala, berkata peserta akan menghadiri bengkel elit yang dikendalikan pembuat filem antarabangsa dan kemudian akan dinilai panel juri terpilih. Karya lapan peserta terbaik akan ditayangkan di saluran APAC Tamil ZEE.
Katanya, tiga pemenang utama juga berpeluang menjalani latihan amali dengan pengarah antarabangsa terkenal – tertakluk terma dan syarat.
Pendaftaran untuk pertandingan adalah percuma dan tarikh akhir penyertaan 20 Disember dan ia terbuka kepada peserta dari Malaysia dan Singapura.
Filem yang dihasilkan tidak melebihi 10 minit dan 90 peratus menggunakan bahasa Tamil.
Barisan juri termasuk pengarah terkenal AL Vijay, pengarah dan penulis skrip dari Singapura K. Rajagopal dan Yahssir M, serta Ketua Progam Zee Tamil, Tamil Dasan.
Pemenang akan diumumkan pada 23 Januari 2021 dan tayangan di saluran ZEE Tamil APAC bermula Februari.
Maklumat lanjut, boleh layari laman web https://www.zeetamilapac.com/zeereel atau e-mel kepada [email protected]. – BERNAMA