Selebriti

Zamshuri gunakan pengalaman untuk membantu masyarakat

Misi 1511
- Diterbit 24 Januari 2022 5:17 AM MYT

POPULARITI yang dikecapi oleh Zamshuri Ramli menerusi drama bersiri Skuad Elit yang diterbitkan pada 2003 membuatkan dia kekal diingati peminat.

Biarpun sudah 19 tahun berlalu, masih ramai yang mengingati lakonan mantap Zamshuri di samping pelakon Skuad Elit lain seperti Rita Rudaini, Tony Eusof, Serina Redzuan dan ramai lagi.

Kerjaya seni Zamshuri atau nama sebenarnya Nor Zamshuri Ramli, 51, berkembang baik ketika itu menyaksikannya menjadi pilihan penerbit untuk membintangi drama dan filem mereka.

“Saya bersyukur kerana boleh dikatakan tak menang tangan dengan tawaran berlakon ketika itu.

“Filem-filem lakonan saya antaranya ialah Don (Bollywood), Misi 1511, Gerak Khas The Movie 3 dan Kepulangan.

“Saya juga pernah bergelar penyampai radio untuk IKIM serta menghasilkan album secara berduet dengan Rashdan Baba berjudul Langkah yang berkonsep motivasi,” katanya.

ANTARA filem lakonan Zamshuri ialah Don (Bollywood), Misi 1511, Gerak Khas The Movie 3 dan Kepulangan.

 

ZAMSHURI ketika zaman mudanya.

Peralihan masa menyaksikan Zamshuri memperlahankan aktiviti lakonan dan beralih kepada kerjaya lain seperti membuka perniagaan berkaitan latihan dan pembangunan insan berunsur motivasi.

“Saya pernah memperlahankan kerjaya lakonan selama dua tahun atas beberapa faktor antaranya menjaga bapa yang uzur dan kemudian meninggal dunia pada 2011.

“Saya juga aktif sebagai penceramah motivasi bebas. Saya terpaksa fokus pada perkara yang lebih penting dan menjadikan lakonan sebagai kerjaya kedua.

“Drama terakhir saya ialah Dendam Sarakit dan Transit Terakhir yang boleh ditonton menerusi YouTube.

“Bagaimanapun saya macam nak buat ‘comeback’ kerana rasa rindu
dengan semua rakan-rakan media dan artis,” katanya.

SELAIN aktif sebagai ahli perniagaan, Zamshuri juga dikenali sebagai penceramah motivasi.

 

Aktif dalam badan bukan kerajaan

Sebagai penceramah motivasi, Zamshuri berbangga apabila baru-baru ini, menerima anugerah dari Asiapez sebagai Top Motivator Award dan Top Performance untuk tahun 2021.

Dia yang aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO) turut bersyukur apabila dilantik sebagai Pengarah Komunikasi Korporat untuk Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM).

ZAMSHURI menerima anugerah dari Asiapez sebagai Top Motivator Award dan Top Performance untuk tahun 2021.

Persatuan yang ditubuhkan pada 2013 ini bertujuan membantu permasalahan hutang dan liabiliti pengguna yang dihadapi oleh rakyat Malaysia.

“Saya amat berterima kasih kepada Presiden 4PM, Rosland Mohd Arif kerana memberikan kepercayaan kepada saya menggalas tanggungjawab ini.

“Sudah pasti saya akan menggunakan sedikit sebanyak pengalaman saya yang ada untuk membantu 4PM.

“NGO yang berpusat di Ampang ini adalah satu-satunya NGO di Malaysia yang menjadi pakar mediasi bagi mengatasi pelbagai masalah perbankan, pakar dalam masalah urusan lelongan, kebangkrapan, penstrukturan dan penjadualan semula hutang-hutang,’ katanya.

PRESIDEN 4PM, Rosland Mohd Arif (kiri) memberi kepercayaan kepada Zamshuri menyandang jawatan sebagai Pengarah Komunikasi Korporat untuk Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM).

Menurutnya, dalam masa 9 tahun, NGO 4PM telah menjadi rakan Jabatan Insolvensi Malaysia, Mahkamah Timbang Tara Malaysia dan juga menjadi rakan Pasukan Tindakan Cemas Malaysia.

“Alhamdulillah pelantikan ini memberikan sedikit peluang kepada saya untuk membawa NGO 4PM lebih menyeluruh ke seluruh Malaysia selepas 9 tahun.

“NGO 4PM satu-satunya NGO dalam negara kita yang aktif dan beri tumpuan sepenuhnya pada permasalahan hutang piutang yang dialami oleh masyarakat.

“NGO 4PM adalah satu tempat hentian (one stop centre) untuk permasalahan perbankan, kredit sivil dan permasalahan konsumer,” katanya.

Zamshuri berkata, perkhidmatan NGO 4PM disediakan untuk menghentikan tindakan sivil, perundangan dan gangguan pengutip hutang.

“Juga ia menghentikan lelongan hartanah dan kenderaan, menghentikan prosiding kebangkrapan, mengeluarkan dan memberikan laluan masyarakat daripada muflis.

“Kemudahan lain ialah boleh keluar dari kebangkrapan, penggulungan syarikat dan pembekuan akaun, melupuskan nama dari senarai hitam, mengelakkan kenderaan ditarik, mengelakkan rumah disita, melupuskan, merendahkan faedah dan merendahkan komitmen bulanan, menjadualkan pembayaran semula tunggakan pinjaman dan mengecilkan jumlah tuntutan.

“4PM menawarkan khidmat kepakaran kepada semua masyarakat di Malaysia dan 4PM akan bertindak pantas menghentikan kekerasan, penganiayaan, kepincangan yang dilakukan oleh pegawai dari institusi
kewangan dan tindakan sivil dari pengutip hutang dan juga daripada semua yang kita tempuhi.

“Banyak kecelaruan telah berlaku dan dalam masa yang sama kecelaruan yang dikenal pasti melibatkan penyalahgunaan kuasa daripada perkhidmatan bank, dari segi pegawai-pegawai bank sampailah ke jabatan-jabatan dipanggil jabatan-jabatan kerajaan yang berurusan dengan masyarakat.

“Kami akan berada terkehadapan untuk memberi sedikit ruang untuk bantu masyarakat dengan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Menurutnya, NGO 4PM memang mengalu-alukan wakil- wakil dari setiap negeri tetapi mereka yang berminat perlu menghantar maklumat diri kerana NGO 4PM mahukan individu yang betul-betul berintegriti tinggi.

“Mereka yang pernah bekerja di sektor perbankan ataupun ada pengalaman dalam bidang guaman dan masih berstatus sebagai seorang peguam dialu-alukan untuk menjadi wakil kami di NGO ini.

“Kalau boleh kami nak dapatkan wakil di seluruh Malaysia. Mereka perlu tinggi integriti berlatar belakang perbankan dan peguam,” katanya.

Maklumat lanjut NGO ini boleh didapati dengan menghubungi nombor
01136668133 atau 019 6555219 – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas