Berita

Zaliha pengerusikan MTPWP

- Diterbit 19 September 2024 6:00 PM MYT

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa mempengerusikan Majlis Tindakan Pembangunan Wilayah Persekutuan (MTPWP) hari ini.

Beliau berkata MTPWP adalah bertujuan untuk menyelaras dan memantau pelaksanaan projek serta program pembangunan di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.

“Saya tekankan bahawa pelaksanaan sesi libat urus melibatkan kumpulan pemikir awam, wakil sektor swasta dan rakyat terbanyak adalah penting untuk memulakan gerak kerja menuju pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) tidak berapa lama lagi.

“Penumpuan strategik juga perlu ditumpukan kepada aspek ekonomi, sosial, alam sekitar dan tatakelola,” katanya di Facebook.

Menurut Zaliha lagi, semua pihak termasuk Ahli Parlimen perlu bersedia untuk menumpukan perhatian dalam mengenal pasti hasil libat urus agar limpahan manfaat RMK13 ini dapat dirasai oleh segenap lapisan masyarakat di Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata antara kertas yang dibentangkan adalah terkait dengan projek pembangunan yang tidak disiapkan mengikut jadual.

“Projek-projek tersebut pula kebanyakannya adalah bersifat ‘people-centric’.

“Justeru, saya tegaskan projek-projek yang sedang dan akan dilaksanakan hendaklah siap mengikut jadual bagi mengelakkan kekerapan Extensions of Time (EOT) yang menyebabkan kelewatan serahan projek,” katanya.

Dalam pada itu, Zaliha turut menyeru semua pihak agar dapat bersama-sama pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk merealisasikan penyediaan data pemetaan utiliti yang lebih komprehensif bagi perancangan pembangunan di Kuala Lumpur pada masa hadapan.

Beliau berkata turut dibentangkan dalam mesyuarat tersebut adalah pelan mitigasi banjir di Kuala Lumpur khususnya sebagai persediaan menghadapi monsun timur laut.

“Insya-Allah, sinergi pandangan dan idea dalam mesyuarat ini akan diterjemahkan kepada tindakan yang segera dan tuntas dalam usaha mencapai visi Bandar CHASE di Wilayah Persekutuan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas