PELANTIKAN Dr Zaliha Mustafa sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) selepas portfolio itu ditinggalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat mampu mendepani cabaran untuk mengemudi pembaharuan dalam usaha untuk menyusun semula struktur masyarakat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Profesor Sosiologi Politik, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata pelantikan tersebut membuktikan isu gender tidak menjadi halangan dalam menguruskan portfolio tersebut berikutan Zaliha telah mempunyai pengalaman yang mencukupi dalam menerajui Wilayah Persekutuan.
“Pengalaman yang diraih di Kementerian Kesihatan sebelum ini boleh menjadi panduan kepada beliau untuk meningkatkan pembaharuan yang dilaksanakan dan tidak perlu dilihat dari sudut gender.

“Apa yang penting apabila ada ketokohan dan kepimpinan maka peletakan beliau di situ membolehkan kementerian atau jabatan itu berkembang apatah lagi beliau juga akan mempunyai sistem sokongan yang membantu apa yang mahu dilakukan,” katanya kepada Wilayahku pada Selasa.
Sivamurugan berkata Wilayah Persekutuan mempunyai tiga wilayah berbeza dan ia memerlukan sentuhan menteri dalam merealisasikan perubahan dari pelbagai sektor bagi memastikan pembangunan dan kemajuan yang dirancang boleh dilaksanakan.
“Zaliha perlu mendapatkan maklumat yang betul untuk mendekati pelbagai kumpulan sasar serta pihak berkepentingan yang terlibat secara langsung dalam pentadbiran ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.
“Perubahan yang ingin dilakukan ini pastinya memerlukan keazaman politik kerana di pusat bandar cabarannya tentulah mengenai kewujudan pelbagai kelas dan kumpulan masyarakat atasan, pertengahan dan bawahan apatahlagi soal kemiskinan bandar dengan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya sambil menambah Zaliha perlu menyantuni semua golongan bagi memastikan keadilan sosial dapat ditegakkan selari dengan konsep Malaysia MADANI.
Menurut Sivamurugan, dalam memastikan perancangan meningkatkan sosioekonomi golongan rentan di Kuala Lumpur, Zaliha perlu menilai semula peranan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta agensi yang lain supaya fungsi mereka saling melengkapi demi memastikan ia tidak tersasar.
“Zaliha perlu menggunakan ketokohan beliau sebagai asas untuk memastikan fungsi agensi di bawah portfolionya tidak merencat perubahan ke arah kemajuan atau proses modenisasi di kawasan-kawasan tertentu di bandar raya,” katanya.
Menyentuh mengenai kedudukan pembangunan Kampung Baru, Sivamurugan menyatakan kawasan teras orang Melayu itu amat sinonim dengan Kuala Lumpur dan Zaliha perlu mendapatkan maklumat yang secukupnya daripada pelbagai pemegang taruh bagi mengelakkan beliau dijadikan sasaran serangan berbaur politik.
“Beliau perlu bertemu bukan sahaja pihak atasan, tetapi juga masyarakat di situ bagaimana ia menzahirkan suasana yang seimbang dan situasi menang-menang untuk semua supaya tidak dilihat wujudnya kepentingan politik berbanding soal kebajikan atau latar belakang masyarakat di situ.
“Sudah pasti akan ada pelbagai asakan, desakan dan juga cabaran ke atas usaha untuk menyelami dan juga mengatasi kedudukan Kampung Baru dengan jalan penyelesaian yang terbaik dan mungkin boleh dimulakan dengan sesi town hall bagi mengenal pasti kerangka besar pembangunan Kampung Baru itu akan dapat memastikan ia tidak berkompromi dengan soal penggadaian tanah dan soal maruah termasuklah aspek persejarahan Kampung Baru itu sendiri,” katanya.
DASAR RANGKUMI SEMUA
Menurut Sivamurugan, dalam memenuhi aspirasi menguruskan golongan miskin bandar, Zaliha perlu mempertahankan dasar yang berlandaskan kepada keperluan need based policy yang merangkumi kesemua kelompok tanpa mengira agama, ras, etnik, kelas atau apa sahaja latar belakang mereka.
“Dalam konteks ini apatah lagi apa yang mahu dilakukan di Kuala Lumpur akan diperhatikan oleh pelbagai kelompok terutama juga isu berkaitan dengan soal pelbagai etnik dalam negara tetapi juga ia menjadi pusat tumpuan migrasi pendatang asing terutama ada kelompok tertentu yang sudah berleluasa yang boleh menzahirkan rasa tidak puas hati oleh masyarakat tempatan,” katanya sambil menambah Zaliha perlu menekankan keternampakan dan komunikasi yang bersesuaian supaya ia tidak mengganggu apa sahaja soal hak kaum di samping melindungi masyarakat tempatan.
Sivamurugan turut berkata tugas besar Zaliha turut diperlukan dalam mengurus dan memacu pertumbuhan ekonomi Labuan yang sebelum ini suram berikutan isu pandemik COVID-19 serta penguncupan sektor tenaga dan gas yang menjadi nadi kepulauan itu.
“Labuan ini perlu dilihat kerana ia menjadi tumpuan disebabkan ia dikelilingi perairan dan juga menjadi tempat persinggahan serta kawasan yang dianggap bebas cukai. Jadi bagaimana ia perlu dibangunkan serta perlu membuka ruang dan peluang kepada perniagaan, kewangan, pekerjaan masyarakat tempatan.
“Ia tidak boleh dilihat silo atau berasingan bagaimana wujudnya juga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan kerana ketiga-tiganya perlu dilihat secara sinergi dan bersama agar tidak ada yang terkebelakang atau terlalu kehadapan. Yang penting adalah untuk memastikan tidak ada usaha untuk meminggirkan mana-mana kelompok masyarakat walaupun Labuan itu secara geografinya berada di kepulauan Borneo,” katanya. – WILAYAHKU