MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa telah membentang cadangan inisiatif utama Jabatan Wilayah Persekutuan kepada Kementerian Kewangan semalam.
Beliau berkata, menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan kesejahteraan dan keharmonian warga kota Wilayah Persekutuan terjamin.
Menurutnya lagi, beliau mahu menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai wilayah yang maju dan sejahtera serta peneraju pembangunan yang mampan.
Dalam usaha merealisasikan aspirasi Malaysia Madani katanya, lima inisiatif utama yang berteraskan visi Bandar CHASE bakal diperkenalkan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan.
Lima inisiatif dalam aspek menaikkan siling di bawah kluster Sejahtera@WP merangkumi Penstrukturan & Keseimbangan Sosio Ekonomi, Bandar Pintar Berdaya Huni, Pembudayaan Digital, Memelihara & Memulihara Alam Sekitar dan Kelestarian Pelancongan.
“Manakala inisiatif dari sisi meningkatkan lantai pula merangkumi kesejahteraan komuniti dalam meningkatkan darjat hidup rakyat seperti Program Usaha Jaya Insan (PUJI),” katanya di Facebook.
Sementara itu, Zaliha berkata pembentangan Belanjawan 2025 sememangnya bakal ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia terutamanya warga kota Wilayah Persekutuan.
“Jangan lupa untuk saksikan secara langsung pada 18 Oktober nanti.
“Semoga perbincangan ini akan merealisasikan Pelan Tindakan Hala Tuju Wilayah Persekutuan, sekali gus melahirkan masyarakat Malaysia Madani yang maju, terampil dan terangkum,” katanya. – WILAYAHKU