MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zaliha Mustafa berikrar ubtuk menyelesaikan isu melibatkan Kampung Setia Jaya di Setapak yang telah berlanjutan 30 tahun.
Menerusi hantaran di Facebooknya, beliau telah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pendidikan TARC, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berhubung isu Kampung Setia Jaya.
“Hari ini saya berpeluang duduk dan berbincang bersama-sama YB Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pendidikan TARC berkaitan isu Kampung Setia Jaya.
“Ini merupakan perbincangan lanjutan atau progress meeting berkaitan isu penempatan penduduk di Kampung Setia Jaya.
“Alhamdulillah perbincangan sebentar tadi cukup positif. Insya-Allah, isu legasi yang telah tertangguh hampir 30 tahun ini akan kita selesaikan secara bersama,” katanya.
Terdahulu kira-kira 500 penduduk Kampung Setia Jaya, Setapak di ibu kota yang sebelum ini bimbang terpaksa berpindah dalam tempoh 18 bulan untuk memberi laluan kepada pembangunan baharu.
Mereka kemudian menarik nafas lega apabila perbincangan pemilik tanah bersama Zaliha mencapai kata sepakat dengan memberikan jaminan bahawa penduduk berkenaan dibenarkan tinggal di kawasan sehingga isu penempatan diselesaikan. – WILAYAHKU