Berita

Zahnita padam foto di instagram, berterima kasih kepada penyokongnya

- Diterbit 4 Disember 2024 12:04 PM MYT

BEKAS model terkenal, Zahnita Wilson dilihat memadam ke semua foto di akaun instagramnya.

Personaliti berusia 39 tahun itu dilihat tidak aktif di instagram sejak membuat pendedahan mengenai keganasan rumah tangganya pada Isnin.

Bagaimanapun personaliti berusia 39 tahun itu kembali mengemas kini akaunnya dengan memuat naik sepotong video pendek.

Berpakaian ‘hoodie’ dan bercermin mata gelap, Zahnita meluahkan tanda terima kasih kepada netizen di atas kata-kata semangat dan sokongan ditunjukkan di kala dia berdepan keganasan rumah tangga.

“Assalamualaikum.. terima kasih di atas ucapan dan sokongan semua. Saya akan bersama dengan anda sedikit masa saja lagi,” tulisnya.

Menerusi video berkenaan, Zahnita kelihatan sebak sambil memberikan tanda hati kepada mereka yang menyokongnya.

Pada hantaran sama, pelakon Kuliah Cinta itu turut meminta pelanggan setia pai jualannya menghubungi dua rakannya untuk tempahan.

Hantaran berkenaan menerima lebih 10,000 tanda suka serta lebih 500 selebriti dan peminat meninggalkan kata-kata sokongan di ruangan komen.

Isnin lalu, Zahnita membuat pendedahan berani apabila berkongsi gambar matanya yang lebam.

Susulan itu, suaminya ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

Ibu kepada empat cahaya mata itu difahamkan pernah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor pada 2013, tetapi membatalkan hasrat itu kerana yakin dapat memulihkan kembali kemelut rumah tangga mereka. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas