Berita

Zahid akan adakan lawatan rasmi ke UAE bermula hari ini

Foto: BERNAMA
- Diterbit 13 November 2024 1:00 PM MYT

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan lawatan rasmi ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula hari ini hingga 19 November .

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah akan diiringi oleh pegawai kanan daripada kementerian dan agensi berkaitan serta wakil-wakil daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia.

Dalam satu kenyataan, Wisma Putra berkata lawatan rasmi itu merupakan lawatan peringkat tinggi pertama antara kedua-dua negara pada 2024 selepas lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke UAE pada Oktober tahun lepas.

“Ia menunjukkan komitmen berterusan Malaysia dalam usaha mengukuhkan hubungan dan memupuk kerjasama dalam pelbagai sektor yang memberikan manfaat bersama kepada kedua-dua negara, sejak hubungan dua hala dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik pada September 2022.

“Semasa lawatan ini, Timbalan Perdana Menteri dijadual terlibat dalam perbincangan peringkat tinggi tertumpu kepada pengukuhan kerjasama dua hala dengan penekanan khusus kepada sektor utama seperti industri Halal, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional(TVET) dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Menurut Wisma Putra, delegasi Malaysia juga akan mengunjungi Mohamed Bin Zayed University of Artificial Intelligence dan berinteraksi dengan wakil-wakil daripada G42, sebuah syarikat AI terkemuka di UAE.

Tambahnya, Zahid juga akan merasmikan MIHAS Dubai 2024 dan bertemu dengan pemegang taruh berkepentingan dalam sektor halal UAE sebagai usaha untuk mempromosi dan menarik lebih ramai pelabur ke Malaysia.

“Pada tahun 2023, UAE merupakan pengimport terbesar produk halal Malaysia dalam kalangan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

“UAE adalah rakan dagang kedua terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan sumber import kedua terbesar dari rantau Asia Barat,” katanya.

Untuk rekod, dari Januari hingga September 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan UAE meningkat sebanyak 16.03 peratus kepada RM32.85 bilion(USD7.5 bilion) berbanding RM28.31 bilion (USD6.5 bilion) bagi tempoh yang sama pada 2023. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas