YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) menafikan dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan bancian dibuat secara ‘pilih bulu’ ke atas mangsa banjir di Kampung Pasir Baru, Lembah Pantai Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zaizalnizam Zainun berkata, YWP tidak pernah mengamalkan nepotisme dalam penyaluran bantuan atau sumbangan.
“Penerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) adalah berdasarkan senarai banci mangsa yang terlibat bencana.
“Kami tidak melihat latar belakang kaum atau politik apabila mengurus bantuan mahupun sumbangan untuk rakyat,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, bencana di Wilayah Persekutuan melibatkan dua keadaan iaitu banjir dan tanah runtuh.
“Mangsa yang terjejas ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan bancian dilakukan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Manakala mangsa yang terkesan tetapi tidak berpindah akan diuruskan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP). Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula ditugaskan untuk membuat bancian tersebut,” katanya.
Jelasnya, tugas YWP pada kali ini adalah untuk memastikan bantuan wang tunai sebanyak RM300 diserahkan kepada mangsa bersama BWI dan ia berdasarkan senarai nama yang telah disahkan DBKL.
“Secara keseluruhan semua senarai nama yang dibanci perlu disahkan oleh pihak DBKL terlebih dahulu sebelum bantuan dapat diagihkan.
“Di sini jelas bahawa YWP tidak terlibat dengan bancian penduduk yang terjejas banjir dan andaian bahawa YWP ‘memilih bulu’ dalam urusan bancian mangsa adalah tidak benar,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, bagi mana-mana warga Wilayah Persekutuan yang terkesan akibat banjir dan tercicir daripada senarai penerima, boleh menghubungi pihak MPP untuk dibuat semakan semula.
4 Januari lalu, seorang pelayar Facebook memuat naik status ‘Yayasan Wilayah Persekutuan buat la bancian mangsa-mangsa yang betul. Jangan main pilih bulu’.
Kenyataan tersebut turut dimuat naik bersama poster yang memaparkan penyaluran sumbangan di Dewan MPP Kampung Pasir pada 31 Disember lalu.
Poster berkenaan memaparkan gambar Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan pegawai tugas-tugas khasnya, Datuk Ramlan Askolani. -WILAYAHKU