BAGI memastikan warga emas tidak diketepikan khususnya dalam aspek penjagaan kesihatan, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) tampil bersama menganjurkan Program Advokasi Kasih dan Budi baru-baru ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif YWP, Dr Abdul Basir V. Kunhimohamed, seramai 600 warga emas yang menyertai program berkenaan menerima Kit Peralatan Kesihatan.
Tidak ketinggalan katanya, YWP turut menyalurkan sumbangan bantuan khas kepada artis-artis veteran melalui Persatuan Kebajikan Artis Legenda Malaysia.
“Antara artis veteran yang menerima sumbangan khas tersebut adalah Norlia Ghani yang popular dengan watak Joyah dan juga penyanyi era 70-an, Junainah M.Amin yang cukup terkenal dengan lagu Suasana Riang Di Hari Raya.
“Kami terlibat bersama membantu warga emas yang memerlukan bantuan termasuk penganjuran bersama program advokasi ini,” katanya.
Ditanya mengenai bantuan khas kepada artis veteran, Abdul Basir berkata ia berupa bantuan kewangan dan barangan keperluan serta kesihatan mereka.
Majlis Perasmian Program Advokasi Kasih dan Budi yang diadakan di Institut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (IDB) itu disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Noraini Ahmad.
Turut hadir Pengarah Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur, Che Samsuzuki Che Noh; Pengarah Bahagian Warga Emas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Hezleen Hassan; Pengarah Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr Nor’Aishah Abu Bakar serta Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL, Ahmad Ibnu Sina Termizi.
Terdahulu, YWP turut membuka reruai di ruang pameran IDB dengan menawarkan perkhidmatan pembaharuan Skim Prihatin selain mempromosikan Skim Pendidikan iaitu Bantuan Awal IPT & Dermasiswa IPTA.
Skim Prihatin memberi bantuan kewangan segera kepada keluarga bagi menguruskan kos pengebumian dan perbelanjaan berkaitan.
Apabila terdapat ahli yang meninggal, waris perlulah membuat tuntutan dalam tempoh masa 14 hari dari tarikh kematian dan cukup syarat.
Ketika ini lebih 50,000 ahli telah menyertai skim berkenaan untuk khairat kematian.
Bagi Skim Pendidikan pula, ia merupakan komitmen penting untuk YWP terus membantu pelajar melanjutkan pengajian ke universiti khususnya golongan berpendapatan rendah. – WILAYAHKU