Berita

‘You dengar mana, daripada Tiktok?’, PM jawab dakwaan pembangkang isu kontrak D’Saji

- Diterbit 29 Oktober 2024 12:08 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dakwaan seorang Ahli Parlimen pembangkang mengenai pemberian tender pembekalan makanan dikaitkan dengan syarikat Felda D’Saji Sdn. Bhd. (D’Saji) sebagai tidak benar sama sekali.

Malah beliau mempersoal dapatan Ahli Parlimen terbabit terhadap isu itu yang hanya bersandarkan kepada fakta di TikTok dan WhatsApp.

“Seperti mana saya dengar ucapan (Ahli Parlimen) Pasir Puteh (Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh) sebelum ini (semalam) bahawa Menteri Kewangan tak ikut tatakelola dalam pengagihan kontrak kepada D’Saji kepada (Ahli Parlimen) Bukit Gantang (Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul), tak benar sama sekali.

“Saya yang sign (tandatangan) saya tahu. You dengar dari mana? Oh! Daripada TikTok? Ini belajar mana ini? TikTok, seorang lagi pula WhatsApp, tak rujuk fakta,” katanya sewaktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Nik Muhammad Zawawi yang membangkitkan isu tatakelola terhadap persoalan asal mengenai pentafsiran T15.

Dalam sidang Dewan Rakyat petang semalam, Nik Muhammad Zawawi mendakwa mempunyai perbualan menerusi aplikasi WhatApps antara Ahli Parlimen Bukit Gantang berkaitan tender pembekalan makanan kepada anggota keselamatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau mendakwa dalam perbualan dengan seorang pegawai itu, terdapat bahagian yang menyebut ‘bahagian Datuk pun ada…’ seolah-olah memperlihatkan wujud elemen rasuah atau salah guna kuasa dalam urusan tender tersebut.

Beliau membangkitkan isu berkenaan pemberian tender pembekalan makanan kepada ATM antara syarikat yang dikaitkan Syed Abu Hussin Hafiz dengan D’Saji.

Anwar berkata, dalam soal tatakelola, pihaknya menegaskan kepada Nik Muhammad Zawawi bahawa kerajaan tiada tolak ansur.

“Tapi belajar kalau sebut baca Al-Quran, orang tahu surah mana. Baca hadis, rujukan sanadnya di mana.

“Tetapi bila bercakap atas nama Islam, rujuk Al-Quran tetapii bila hentam tak peduli. Ini yang saya bangkitkan.

“Jadi jangan pusing, jangan putar, jangan buat tuduhan melulu di dalam dewan ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas