Berita

Yayasan Petronas ringankan beban 1,600 murid di Terengganu

- Diterbit 29 Mac 2021 6:06 AM MYT

SERAMAI 1,600 murid daripada keluarga berpendapatan rendah di negeri ini, menerima sumbangan yang disampaikan oleh Yayasan Petronas sempena program ‘Kembali Ke Sekolah’ 2021.

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur Che Ahmad Tarmizi Abdul Rahman berkata, sumbangan berbentuk kelengkapan sekolah dan kit kebersihan diri itu, diharap dapat membantu mencegah penularan COVID-19.

“Setiap murid menerima sumbangan dua pasang seragam sekolah, topi, kasut sekolah, stokin, beg galas dan sebuah botol minuman serta keperluan pembelajaran, terdiri daripada set alat tulis dan buku nota.

“Selain itu, setiap murid juga menerima sumbangan kit kebersihan diri seperti dua helai pelitup muka tiga lapisan (boleh digunakan semula), dua helai tuala muka dan sekotak sabun kertas,” katanya selepas menyampaikan sumbangan itu kepada Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Mohd Shariff Abdul Latif di sini.

Daripada 1,600 murid itu, 250 orang adalah murid di Kuala Terengganu,  Besut (250), Dungun (220), Hulu Terengganu (220), Kemaman (213), Setiu (185), Marang (132) dan Kuala Nerus (130).

Mengulas lanjut Che Ahmad Tarmizi berkata, sejak mula dilancarkan pada tahun 2003, program Petronas-Kembali Ke Sekolah terus komited dengan matlamatnya meringankan bebanan golongan berpendapatan rendah, di dalam bidang pendidikan di negara ini.

“Selain itu, Petronas juga berusaha memupuk minat pelajar terhadap mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Sehubungan itu, semua 1,600 murid tersebut juga dibekalkan dengan set buku kerja kaedah pembelajaran STEM yang praktikal dan menyeronokkan,” katanya. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas