Berita

Yayasan Petronas hulur sumbangan kepada 300 keluarga di N. Sembilan

- Diterbit 12 Februari 2021 4:33 AM MYT

BERSEMPENA Tahun Baharu Cina yang dirai masyarakat Tionghoa hari ini, Yayasan Petronas mengambil inisiatif menceriakan sambutan dengan menghulurkan sumbangan kepada 300 keluarga kurang berkemampuan di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Nelly Francis Shariah berkata sumbangan berbentuk makanan asas dan kit penjagaan kebersihan yang keseluruhanya bernilai RM30,000 itu merupakan sebahagian daripada program Ziarah Kasih dan disampaikan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Negeri Sembilan, dua hari lepas.

Menurutnya, sumbangan dengan kerjasama Petronas Wilayah Selatan itu diedarkan ke rumah anak yatim, orang tua, ibu bapa tunggal dan komuniti kurang upaya di Jempol Tengah dan Seremban yang dikenal pasti JKM.

“Kita ingin memainkan peranan dalam memupuk semangat perayaan terutamanya ketika aktiviti Tahun Baharu Cina meskipun beberapa tradisi seperti tarian singa dan perjumpaan keluarga tidak dapat dilaksanakan.

“Oleh itu, kita komited untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik pada musim perayaan ini dengan sumbangan barangan keperluan asas yang diharap dapat memberikan kegembiraan kepada mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ketua Petronas Wilayah Selatan Sazli Zakaria pula berharap sumbangan ini dapat membawa kegembiraan dan kemakmuran untuk menyambut Tahun Baharu Cina walaupun negara masih berdepan cabaran pandemik COVID-19. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas