Berita

Yassin Senario dijangka pulang sebelum raya

- Diterbit 13 Mac 2025 11:30 AM MYT

ANGGOTA kumpulan Senario, Yassin Yahya dijangka pulang ke tanah air sebelum sambutan hari raya.

Menurut pelawak, Saiful Apek, berita gembira itu dimaklumkan sendiri oleh keluarga Yassin kepadanya.

“Selama ini kami berdiam diri kerana menghormati keluarganya.

“Tapi dari maklumat keluarganya, kami difahamkan dia akan balik sebelum raya.

“Alhamdulillah kami lega apabila dapat tahu dengan lebih jelas apa yang berlaku,” katanya yang ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Filem 6 Jilake terbitan Eartistics Sdn Bhd dan edaran Primeworks Studio di sini, semalam.

Sementara itu, Apek meminta orang ramai berhenti daripada membuat spekulasi tidak betul.

Katanya, segala kebenaran akan terjawab apabila pelawak berusia, 47 tahun itu pulang ke tanah air kelak.

“Saya bukan nak bersikap berat sebelah kerana ingin melindungi kawan sendiri. Mungkin dia tidak pandai mana, tetapi dia pun tak sebodoh mana.

“Jadi saya nak menyeru hentikan segala spekulasi, tunggu tuan badan balik biar dia sendiri ceritakan apa berlaku.

“Dia tidak ditahan di penjara tetapi pusat pemulihan yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk kedai runcit,” katanya.

Berkongsi mengenai keadaan terkini pelawak itu, Apek yang sempat berhubung dengan Yassin menerusi aplikasi Zoom, gembira melihat perubahan positif Yassin.

“Berat badannya dah bertambah daripada S ke M. Lebih menggembirakan dia sudah hafaz Al-Quran 20 juzuk kerana ada kursus percuma di sana.

“Tiada perkara yang jadi secara kebetulan. Kita doakan sahaja yang baik-baik. Kami akan sambut kepulangannya dengan gembira,” kata Apek.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pelawak ditahan di Jeddah selepas disyaki terbabit memiliki dadah jenis ganja, namun tidak mendedahkan identitinya.

Pelawak berkenaan dilaporkan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah ketika mahu menunaikan umrah bersama rakan-rakannya pada Oktober lalu.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas