Berita

YADIM sumbang RM100,000 bantu 200 keluarga asnaf

20 Sukarelawan YADIM Penghantar Makanan digerakkan untuk membantu menyampaikan barangan keperluan dapur kepada komuniti memerlukan di Putrajaya semasa POD 2023.
- Diterbit 7 Mac 2023 2:30 AM MYT

BAGI meluaskan lagi khidmat kemanusiaan, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) meneruskan inisiatif menyantuni 200 keluarga golongan asnaf untuk membantu meringankan beban mereka.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Zamri Zainal Abidin, usaha melibatkan sejumlah 20 penunggang motosikal itu menyampaikan barangan keperluan terus kepada 200 keluarga yang memerlukan.

“Pihak YADIM memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi semua barangan tersebut untuk diedarkan termasuk kepada pengunjung yang hadir ke reruai kami.

“Mereka yang datang menerima sebanyak sembilan jenis barangan keperluan dapur antaranya ialah minyak masak, beras, bawang, gula, tepung gandum dan susu,” ujarnya kepada Wilayahku.

Selain itu, Zamri berkata para penghantar makanan tersebut adalah ‘Sukarelawan YADIM Penghantar Makanan’ yang terlibat setiap kali pihaknya menyantuni komuniti memerlukan di Putrajaya.

“Ini bukanlah kali pertama YADIM bekerjasama dengan kumpulan penghantar makanan malah inisiatif sama telah dilaksanakan sebelum ini di Bangi, Kuala Lumpur, Pahang, Melaka dan beberapa lagi kawasan.

“Perkhidmatan seperti ini dilaksanakan buat golongan asnaf yang tidak dapat hadir untuk mengambil barangan,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Zamri memaklumkan YADIM turut mengadakan Jualan Rahmah dalam Hari Terbuka Putrajaya / Putrajaya Open Day (POD) 2023 yang menawarkan pelbagai jenis barangan dapur seperti minyak, beras, bawang, gula, tepung, susu serta banyak lagi dengan potongan harga sehingga 30 peratus. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas